Bekas pengarah keselamatan awam Arab Saudi dipenjara 25 tahun

Khaled Qarar al-Harbi - Foto: Arab News
Khaled Qarar al-Harbi - Foto: Arab News
A
A
A

RIYADH - Leftenan Jeneral Khaled Qarar al-Harbi dijatuhi hukuman penjara 25 tahun selepas disabit tuduhan rasuah.

Bekas pengarah keselamatan awam Arab Saudi itu bersama 18 yang lain disiasat tahun lalu selepas dituduh menggelapkan wang awam, pemalsuan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Keputusan hukuman ke atas Khaled diumumkan The Prisoners of Conscience, sebuah pertubuhan bebas bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia di Arab Saudi dalam satu catatan di Twitter.

Khalid telah berkhidmat sebagai Ketua Direktorat Am Keselamatan Awam kerajaan sejak Disember 2018 dan beliau sebelum itu adalah komandan pasukan darurat khas.

Beliau dipecat dan ditangkap pada September tahun lalu selepas Raja Salman mengeluarkan titah diraja dan merujuknya untuk siasatan atas tuduhan rasuah, lapor Saudi Press Agency.

Sebelum penahanan Khaled, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia telah membongkar berbelas kes rasuah salah satunya membabitkan seorang pegawai keselamatan negara membabitkan nilai 290 juta riyal (RM341.57 juta).

Putera Arab Saudi, Mohammed Salman pada 2017 melancarkan kempen antirasuah yang besar tidak lama selepas pelantikannya sebagai Putera Mahkota.

Kempen terbabit menjadikan hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh sebagai pusat penahanan sementara selama tiga bulan bagi puluhan kerabat raja dan pegawai kanan yang disyaki melakukan rasuah atau tidak setia. - Agensi

Artikel Berkaitan: