Pesara rugi lebih RM28,000 angkara 'scammer'

Suspek memaklumkan mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan nilai RM1.5 juta. - Gambar hiasan.
Suspek memaklumkan mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan nilai RM1.5 juta. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas menanggung kerugian sebanyak RM28,200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui telefon pada bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 60 tahun yang merupakan pesara badan berkanun menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua individu lain yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan pegawai Jabatan Peguam Negara.

“Suspek memaklumkan mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan nilai RM1.5 juta.

"Mangsa yang dalam ketakutan telah mengikut segala arahan sehingga menukar nombor akaun bank melalui mesin pengeluaran automatik (ATM). Selepas menyemak akaun miliknya didapati wang dalam akaun bank telah hilang sebanyak RM 28,200," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan atau berkongsi apa-apa maklumat perbankan atau kewangan kepada mana-mana individu yang tidak berkenaan.

Beliau juga meminta supaya orang ramai tidak cemas mahu pun takut dengan sebarang dakwaan daripada mana-mana pihak yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

"Kita (pihak penguat kuasa) tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. Orang ramai disarankan supaya sentiasa semak dengan pihak polis untuk mengelakkan diri diperdayakan oleh sindiket Macau Scam," tegas beliau.

Artikel Berkaitan: