Mahu cepat kaya, warga emas rugi RM205,990

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara mahu keuntungan lebih dan cepat kaya, seorang warga emas kerugian RM205,990 ditipu sindiket skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa, wanita berusia 70 tahun dikatakan menyertai pelaburan berbentuk saham itu selepas melihat tawaran terbabit dalam sosial.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang, mangsa mula terpedaya dengan tawaran tersebut sejak 13 Mac lalu.

“Mangsa bertindak membuka akaun permulaan bernilai RM2,000 dengan menyertai pelaburan saham tersebut pada 17 April lalu hingga 21 April.

"Mangsa yang tidak menyedari dirinya ditipu telah membuat transaksi sebanyak 11 kali ke dalam akaun berbeza,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ramli berkata, mangsa yang menetap di Temerloh menggunakan wang simpanan peninggalan mendiang suaminya bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud seperti itu.

“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” kata lagi.