Penguat kuasa JPJ antara yang diberkas lindungi sindiket 'lori kebal'

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 31 individu termasuk 23 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Mereka yang ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4 petang, hari ini terdiri daripada 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun.

Daripada jumlah itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, operasi besar-besaran Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama SPRM Pulau Pinang itu dilakukan hasil risikan beberapa bulan lalu selain mendapat maklumat daripada orang awam.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 berkenaan dipercayai menerima bayaran kira-kira RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Artikel Berkaitan:

"Wang yang diterima itu dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.

"Tangkapan ini merupakan siasatan peringkat pertama dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Dianggarkan tidak kurang daripada 75 pegawai penguatkuasa JPJ terlibat menerima rasuah daripada pemilik syarikat-syarikat lori," katanya.

Dalam pada itu, sumber sama turut memaklumkan, kumpulan lori yang dilindungi ini dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenalpasti sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa.