Tiada bukti saintifik minyak sawit memudaratkan

Jangan tertipu dengan label mengelirukan ‘Tiada Kandungan Minyak Sawit’

Lebih mendukacitakan, kini label ‘Tiada Minyak Sawit’ (No Palm Oil) boleh dijumpai pada produk-produk yang mengandungi minyak sayuran seperti produk makanan, penjagaan diri dan bukan makanan di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
Lebih mendukacitakan, kini label ‘Tiada Minyak Sawit’ (No Palm Oil) boleh dijumpai pada produk-produk yang mengandungi minyak sayuran seperti produk makanan, penjagaan diri dan bukan makanan di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
A
A
A

Label makanan secara umumnya memberi gambaran terhadap maklumat kandungan bahan sesuatu produk untuk rujukan pengguna seperti kandungan khasiat, cadangan hidangan, langkah penyajian dan sebagainya.

Namun, terdapat juga label-label yang digunakan sebagai taktik pemasaran licik pada produk-produk tertentu dalam pasaran dengan niat untuk mengelirukan pengguna.

Sebagai contoh, penggunaan label seperti ‘bebas gula’ dan ‘bebas GMO’ atau ungkapan seperti ‘mesra alam’ dan ‘organik’ yang sering dipaparkan pada bungkusan sesuatu produk boleh mempengaruhi pengguna dalam membuat pembelian.

Berdasarkan kajian ‘Sikap Pengguna Terhadap Label ‘Bebas Daripada’ yang dijalankan oleh European Food Information Council, satu majlis maklumat makanan Eropah, label ‘bebas daripada’ biasanya mengelirukan pengguna kerana memberi gambaran bahawa makanan yang dilabelkan sedemikian adalah lebih baik untuk kesihatan daripada makanan yang tiada label tersebut.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan menegaskan, label diskriminasi terhadap minyak sawit seperti ‘tiada minyak sawit, tanpa minyak sawit’ adalah mengelirukan kerana tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa pengambilan minyak sawit boleh memudaratkan kesihatan.

Lebih mendukacitakan, kini label ‘Tiada Minyak Sawit’ (No Palm Oil) boleh dijumpai pada produk-produk yang mengandungi minyak sayuran seperti produk makanan, penjagaan diri dan bukan makanan di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

Adakah minyak sawit memudaratkan, seperti yang dibayangkan oleh label ‘No Palm Oil’? Untuk pengetahuan semua, minyak sawit mempunyai kandungan lemak yang seimbang iaitu 50 peratus lemak tepu dan 50 peratus lemak tidak tepu.

Semakin tinggi ketepuan sesuatu minyak, semakin pejal keadaan minyak tersebut. Begitu juga sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Apabila sesuatu minyak itu mempunyai nilai ketepuan yang rendah, semakin cairlah keadaan minyak tersebut.

Pengguna sering mengaitkan lemak tepu sebagai punca kemudaratan kepada kesihatan. Malah, kajian oleh Dr. Franca Marangoni (Pengarah Penyelidikan Yayasan Pemakanan Itali), menyangkal dakwaan dan persepsi itu dalam pembentangannya pada Virtual Palm International Nutra-Cosmeceutical Conference (PINC 2021), satu persidangan antarabangsa nutra-kosmeseutikal sawit.

Jelas beliau, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung koronari atau penyakit kardiovaskular. Kedua-dua lemak tepu dan lemak tidak tepu memainkan peranan berbeza dalam aspek kesihatan dan pemakanan.

Oleh kerana minyak sawit mempunyai komposisi lemak yang seimbang, maka ia boleh diguna pakai dengan selamat. Apakah implikasi pelabelan ‘No Palm Oil’? Label ‘No Palm Oil’ boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan pengguna.

Dapatan kajian oleh European Palm Oil Alliance (EPOA) pada 2018 menunjukkan, terdapat sebilangan besar warga Eropah yang menganggap minyak sawit dihasilkan daripada batang pokok sawit sedangkan ia sebenarnya daripada isirung dan buah sawit.

Ini menunjukkan pengetahuan am mereka mengenai industri sawit adalah sangat cetek, namun mereka sangat lantang bersuara untuk memboikot minyak sawit.

Usaha untuk memboikot minyak sawit hanya akan melonjakkan permintaan minyak sayuran lain, malah meningkatkan keluasan penanaman yang diperlukan. Ini kerana, minyak sawit adalah minyak sayuran yang paling produktif dan memerlukan keluasan tanah penanaman yang sangat rendah berbanding minyak sayuran lain.

Maka, usaha pemboikotan minyak sawit hanya menyebabkan lebih besar keluasan tanah diperlukan untuk memenuhi permintaan minyak sayuran dunia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pemusnahan hutan serta pelepasan karbon yang lebih tinggi, dan bukannya kelestarian serta kemampanan alam sekitar.

Sekiranya isu ini tidak dibendung dari sekarang, ia mampu melumpuhkan industri minyak sawit Malaysia dalam jangka masa panjang. Ini akan menjejaskan pendapatan negara, perniagaan tempatan, mata pencarian rakyat dan juga penyelidikan serta pembangunan teknologi tinggi sawit.

Justeru, pengguna diseru mengutamakan produk minyak sawit mampan. Buatlah pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira segala aspek dan pandangan semua pihak serta memahami isu asas sebelum membuat pembelian.