Minyak sawit: Pegawai kanan EU lawat Malaysia-Indonesia

Fadillah
Fadillah
A
A
A

BALING - Seorang pegawai kanan dari Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia dan Indonesia pada minggu hadapan bagi membincangkan isu diskriminasi perdagangan minyak sawit di benua terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam lawatan terbabit kedua-dua negara akan menerangkan pendirian yang telah diputuskan kepada pegawai berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan setiap garis panduan yang akan dikeluarkan EU akan dibuat selepas mendengar pandangan kedua-dua negara.

"Lawatan ini katanya adalah susulan kunjungan misi pelaburan bersama Malaysia-Indonesia ke EU bulan lepas, bagi mempertahankan industri minyak sawit," katanya ketika ditemui selepas meninjau ladang getah dan sembang santai bersama pekebun kecil dan penduduk di Kampung Charok Gorok, di sini pada Ahad.

Menurutnya, dalam masa yang sama Malaysia dan Indonesia juga bersepakat untuk membincangkan isu diskriminasi berkenaan di peringkat ASEAN.

"Persetujuan itu dicapai kerana sekatan terbabit bersifat kompetitif terhadap produk sawit, berbanding alasan pembukaan hutan.

"Kelapa sawit yang ditanam, boleh membawa pulangan selama lebih 25 tahun. Kos kita lebih rendah berbanding minyak sayuran (soya) yang dihasilkan negara EU," katanya.

Ujarnya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mereka juga melihat isu berkenaan lebih cenderung kepada diskriminasi perniagaan.

"Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bergerak bersama dalam memastikan pandangan kedua negara disertakan dalam garis panduan yang dikeluarkan dalam hal ini," katanya.

Fadillah menambah, peranan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN akan turut menyentuh pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR).

Malaysia dan Indonesia menguasi 85 peratus eksport minyak sawit dunia. Minyak sawit Malaysia menguasai 9.4 peratus pasaran minyak sawit EU, atau 1.47 juta tan.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu koloborasi lebih erat diantara kedua negara dalam menentang diskrimasi minyak sawit.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini.