Minyak sawit Malaysia tidak diubah suai secara genetik - MPOB

MPOB sedang menjalankan penyelidikan mengenai GM sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan masa hadapan. - Foto Bernama
MPOB sedang menjalankan penyelidikan mengenai GM sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan masa hadapan. - Foto Bernama
A
A
A

MINYAK sawit Malaysia tidak diperoleh daripada sebarang mekanisme yang diubah suai secara genetik (GM), kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Biologi dan Penyelidikan Kelestarian MPOB, Meilina Ong-Abdullah berkata, MPOB sedang menjalankan penyelidikan mengenai GM sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan masa hadapan.

"GM adalah sebahagian daripada sasaran penyelidikan yang kami ada. Kita memang ada sistem yang berterusan... sama ada berjaya atau tidak, ia masih perlu diuji.

"Penyelidikan sedang dijalankan daripada segi penggunaan teknologi untuk menambah baik dan mendapatkan kualiti minyak lebih baik. Kami menggunakan teknologi kerana ia adalah kunci untuk mendorong potensi kelapa sawit melalui pengubahsuaian genetik,” katanya pada Persidangan Penanam Antarabangsa ke-10 (IPC 2023) hari ini.

Selain itu, MPOB juga menggunakan penyuntingan genom genetik selain daripada kaedah kejuruteraan genetik yang lain, kata Meilina.

Setiap tanaman mempunyai had daripada segi hasil, justeru GM dan penyuntingan genom akan membolehkan lebih banyak pengeluaran minyak sawit.

"Kami boleh mengubah suai gen untuk meningkatkan hasil, GM dan penyuntingan genom membolehkan kami berinovasi melebihi potensi genetik tanaman biasa.

"Secara teorinya, potensi hasil adalah 18 tan sehektar tetapi secara praktikalnya ia hanya menghampiri 13.6 tan sehektar. Tetapi dengan pengeditan GM dan genom, kami boleh menghasilkan lebih banyak minyak sawit,” katanya.

Penyuntingan genom atau gen ialah sekumpulan teknologi yang membolehkan saintis mengubah asid deoksiribonukleik (DNA) organisma, teknologi tersebut dapat menambah, membuang atau mengubah bahan genetik pada lokasi tertentu dalam genom.

Melina berkata, daripada segi penerimaan orang ramai, ia masih dipersoalkan mengenai GM dan penyuntingan genom.

"Ia tidak berbahaya....ia pada asasnya adalah sedikit perubahan, penyingkiran gen, menyunting apa sahaja yang ada. Ia lebih diterima oleh pengguna kerana kita tidak meletakkan sebarang gen ‘alien’ (asing) ke dalam organisma.

"Suntingan genom dianggap lebih diterima oleh orang ramai dan telah terbukti kerana orang ramai mengambil kacang soya, sebagai contoh. Ia selamat, ia hanya persepsi orang ramai,” katanya. - Bernama