Pulau Pinang sedia bantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu

Kon Yeow (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada huffaz di sebuah hotel di Bayan Lepas pada Jumaat.
Kon Yeow (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada huffaz di sebuah hotel di Bayan Lepas pada Jumaat.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bentuk dan nilai bantuan belum diputuskan setakat ini.

"Kita ada bincang dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu (baru-baru ini). Secara prinsip kita bersetuju untuk menyalurkan bantuan tetapi belum tetapkan nilai dan bentuk bantuan.

"Saya dan pegawai kewangan negeri akan putuskan kesemua perkara tersebut dalam masa terdekat sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Huffaz ke-5 Pulau Pinang 2022 di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, tiada sambutan tahun baharu anjuran kerajaan Pulau Pinang pada malam 31 Disember nanti.

"Kerajaan negeri sudah lama tidak menganjurkan sambutan tahun baharu dan untuk kali ini pun, tiada sambutan. Kita cuma ada anjurkan perarakan Cingay yang dijadualkan pada 1 Januari nanti, namun ia telah ditunda ke tarikh lain.

"Saya tidak pasti jika ada pihak swasta yang akan menganjurkan (sambutan tahun baharu) secara kecil-kecilan, namun itu saya serahkan kepada mereka untuk putuskan. Di peringkat negeri, memang tidak ada," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sambutan Ambang Tahun Baharu yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pembatalan itu susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, tiada arahan daripada kerajaan pusat supaya kerajaan negeri membentuk Jawatankuasa Perundingan seperti yang ditubuhkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak.

Sebaliknya beliau berkata, ia diputuskan oleh negeri masing-masing.

"Di peringkat negeri, ia tertakluk kepada negeri masing-masing namun tiada salahnya bagi sesebuah negeri itu untuk menubuhkan jawatankuasa tentang cara bekerjasama.

"Bagaimanapun di Pulau Pinang, kita belum membincangkan penubuhan jawatankuasa itu, malah dalam Mesyuarat Exco pun kita belum bincang mengenai kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri," katanya.

Rabu lalu, BN dan PH Perak membentuk Jawatankuasa Perundingan bersama bagi memastikan agenda kestabilan dalam kerajaan negeri yang dibentuk hasil persefahaman dua gabungan politik itu akan sentiasa dapat dipertahankan.

Pembentukan jawatankuasa itu adalah simbol komitmen kedua-dua parti dalam menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kestabilan politik sentiasa disuburkan demi menjamin kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.