PH, BN Perak tubuh Jawatankuasa Perundingan

Jawatankuasa Perundingan dipengerusikan Mujahid dan Saarani bermesyuarat kali pertama pada Selasa mencapai persetujuan untuk membuat beberapa ketetapan penting demi kestabilan pentadbiran negeri.
Jawatankuasa Perundingan dipengerusikan Mujahid dan Saarani bermesyuarat kali pertama pada Selasa mencapai persetujuan untuk membuat beberapa ketetapan penting demi kestabilan pentadbiran negeri.
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Perak membentuk Jawatankuasa Perundingan untuk memastikan agenda kestabilan dalam kerajaan sentiasa dapat dipertahankan.

Dalam satu kenyataan bersama Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengerusi BN, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembentukan itu adalah simbolik komitmen kedua-dua parti menjunjung titah Sultan Perak supaya kestabilan politik disuburkan demi menjamin kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada Selasa dan turut dihadiri pemimpin parti komponen PH dan BN.

"Kedua-dua parti telah mencapai persetujuan untuk membuat beberapa ketetapan penting termasuklah menyempurnakan sepenuhnya penggal pentadbiran dengan berganding bahu menjunjung keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kedua-dua parti akan memastikan agenda kebajikan rakyat sentiasa didahulukan melalui penyuburan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah kepimpinan Menteri Besar dan pasukan pentadbirannya.

Katanya, persetujuan juga dicapai untuk memakmurkan negeri Perak dengan kegiatan ekonomi yang pesat serta menjana pendapatan negeri melalui amalan pentadbiran kerajaan yang bersih, telus, adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama.

"Parti juga sedia memperkukuh dan memanfaatkan saluran media di semua platform secara lebih berkesan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan negeri Perak.

"Selain memelihara keharmonian hubungan antara parti di semua peringkat bagi menjayakan dan melicinkan perjalanan pentadbiran negeri di peringkat akar umbi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perak terbentuk melalui jajaran 33 kerusi sokongan ADUN masing-masing terdiri daripada PH dengan 24 kerusi dan BN sembilan kerusi dengan persetujuan melantik Saarani sebagai Menteri Besar.

Manakala Perikatan Nasional (PN) dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 26 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi.