Tragedi Batang Kali: SAR dimulakan dengan laungan azan

Prebet Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan sebelum gerak kerja pencarian disambung. - Foto Kementerian Pertahanan Malaysia
Prebet Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan sebelum gerak kerja pencarian disambung. - Foto Kementerian Pertahanan Malaysia
A
A
A

BATANG KALI - Laungan azan sekali lagi berkumandang di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini pada Jumaat.

Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai ikhtiar digunakan pasukan SAR bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih hilang.

"Tiada istilah putus asa. Pelbagai ikhtiar digunakan dalam usaha pencarian mangsa tanah runtuh Batang Kali yang memasuki hari kelapan.

"Anggota pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAJD) telah melaungkan azan sebelum gerak kerja disambung," menurut kenyataan dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, operasi SAR diteruskan bermula jam 8 pagi selepas dihentikan sementara susulan hujan lebat pada petang Khamis.

Empat mayat terdiri daripada satu lelaki dewasa, satu perempuan dewasa serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dijumpai pada jam 11.04 pagi di sektor C (riverside), di sini pada Khamis.

Kesemua mangsa berkenaan ditemui dalam satu bungkusan khemah di kedalaman tujuh meter.

Penemuan terbaru itu bermakna hanya seorang mangsa tragedi tanah runtuh berkenaan yang masih belum ditemui pasukan SAR setakat ini.

Artikel Berkaitan: