Tiada peruntukan punca Lebuhraya Pasir Gudang rosak

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A
PASIR GUDANG - Ketiadaan peruntukan antara punca utama Lebuhraya Pasir Gudang berlubang, rosak dan tidak dapat diselenggara dengan baik.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu dimaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru kepadanya dalam satu perjumpaan berkenaan keadaan lebuh raya tersebut yang mendapat banyak aduan awam.

"Pihak JKR menyedari masalah di lebuh raya ini tetapi masalah utama ialah tiada kewangan. Disebabkan lebuh raya ini di bawah kerajaan Persekutuan, saya ada bertemu dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 18 Disember lalu.



"Saya minta beliau apabila datang ke Johor supaya melawat lebuh raya berkenaan. Saya maklumkan kepadanya terdapat lubang-lubang besar yang perlu diturap dengan baik supaya tidak terus menjadi perangkap membahayakan pengguna jalan raya terutama kereta kecil dan motosikal.



"Banyak kemalangan berlaku disebabkan lubang di lebuh raya ini. Saya mohon supaya satu peruntukan disalurkan untuk projek membaiki lebih raya ini. Juga saya maklumkan kepadanya banjir kerap berlaku di lebuh raya tersebut dengan terbaharu beberapa minggu lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang di sini pada Khamis.

Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada Khamis, menyiarkan keluhan penduduk di Pasir Gudang berkenaan lebuh raya itu dianggap satu perangkap maut kerana keadaan jalan rosak teruk dan sering mengakibatkan kemalangan.

Hassan berkata, selain itu masalah banjir kilat di lebuh raya itu terutama di persimpangan Taman Rinting dan Bandar Seri Alam berhampiran kuil Arulmigu Sri Muniswarar adalah disebabkan projek perumahan di kawasan berdekatan.

Jelas beliau, menerusi taklimat yang diberikan pihak JKR dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) kepadanya, punca banjir kilat disebabkan kolam takungan di projek perumahan tersebut kecil dan tidak mengikuti spesifikasi.
Artikel Berkaitan: