Saksi kelima rampas telefon bimbit pengadu kes Ebit Lew

Ebit bersama peguamnya, Ram (kiri) menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit bersama peguamnya, Ram (kiri) menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Saksi pendakwaan, Asisten Superintenden Polis (ASP) Norfazliyani Zolkapeli memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah pegawai polis yang merampas telefon bimbit pengadu dalam kes membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Saksi kelima yang ditampilkan pihak pendakwaan itu memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan oleh pegawai penyiasat, Deputi Superintendan (DSP) Noor Asyikin Shamsuri untuk membuat rampasan barang kes daripada pengadu.

"Pada jam lebih kurang jam 4 petang saya telah diarahkan oleh DSP Noor Asyikin untuk membuat rampasan barang kes bersabit laporan di Tenom.

"Pada jam 4.30 petang, di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Bukit Aman, saya telah membuat rampasan telefon bimbit daripada pengadu.

"Pengadu menyerahkan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A31 berwarna biru, satu kad sim Unifi dan satu kad memori," jelasnya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Ditanya apa tindakan selanjutnya, Norfazliyani berkata, beliau telah membuat penandaan dan senarai barangan rampasan pada borang pemeriksaan.

"Kemudian pengadu telah menurunkan tandatangan pada borang pemeriksaan dan kemudian saya turunkan tandatangan pada borang yang sama.

"Satu laporan polis telah dibuat berkaitan rampasan yang telah dibuat bersabit laporan Dang Wangi pada 7 Ogos 2021. Kemudian saya menyerahkan barang kes iaitu sebuah telefon Samsung Galaxy A31 berwarna biru bersama satu kad sim Unifi dan kad memori kepada pegawai penyiasat iaitu DSP Noor Asyikin.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, saya turut menyerahkan barang pemeriksaan barang kes dan laporan polis yang telah dibuat kepada pegawai penyiasat. Semasa penyerahan, saya telah turunkan tandatangan pada barang kes telefon bimbit Samsung Galaxy A31 di bahagian belakang," katanya.

Norfazliyani turut memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan satu salinan borang serah menyerah kepada pegawai penyiasat pada hari yang sama rampasan dibuat.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Norfazliyani turut diminta untuk mengenal pasti pengadu dan DSP Noor Asyikin yang disebut beliau sepanjang perbicaraan berkenaan.

Sebelum itu, Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim diwakili barisan peguamnya, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.