Anggota bomba mencukupi hadapi banjir - Mohammad Hamdan

Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan sijil penghargaan JBPM kepada kepada Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, (kanan) yang menyelamatkan seorang kanak-kanak hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu, pada Jumaat lepas. - Foto Bernama
Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan sijil penghargaan JBPM kepada kepada Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, (kanan) yang menyelamatkan seorang kanak-kanak hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu, pada Jumaat lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai keanggotaan mencukupi bagi menghadapi banjir terutama di Pantai Timur ketika ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan seramai 18,053 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di seluruh negara bagi membantu pengoperasian di negeri terlibat.

Menurut Mohammad Hamdan, pihaknya juga akan meminta bantuan keanggotaan daripada negeri berdekatan yang tidak terkesan dengan bencana untuk turun membantu sekiranya sumber tenaga sedia ada tidak mencukupi, selain bantuan logistik dan aset.

"Kesiapsiagaan kita sudah bermula pada November 2021 dan melihat kepada luruan monsun, kes kepala air dan cerun runtuh, kesiapsagaan anggota ini diteruskan sehingga kini dengan pelbagai advokasi, latihan dan pasukan respons... cuti mereka turut dibekukan sepanjang tahun.

"Sumber tenaga dan logistik serta aset di Akademi Wilayah Timur telah digerakkan dan pada masa sama anggota dipecahkan kepada dua pasukan bagi membantu di Terengganu dan Kelantan. Kita percaya terdapat ramai lagi mangsa yang perlu dipindahkan berdasarkan trend hujan ketika ini,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja di JBPM Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemantauan sentiasa diteruskan menggunakan helikopter dan dron yang memfokuskan kepada kawasan yang terjejas teruk selain menerima bantuan daripada agensi lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Kita ada lima pesawat (helikopter) iaitu satu di Borneo dan empat di Semenanjung. Oleh kerana keadaan Pantai Timur begitu teruk, kita gerakkan pesawat ini di pangkalan hadapan kita di Wakaf Tapai, Terengganu dan satu lagi di Bachok, Kelantan supaya masa bertindak lebih pantas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi arahan agensi keselamatan dan segera berpindah ke tempat selamat sekiranya melihat kawasan tempat tinggal dinaiki air selain sukarelawan perlu mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan sekali gus memastikan aspek keselamatan mereka terjamin.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang portal bencana Nadma setakat 1 tengah hari tadi (Rabu), seramai 40,453 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, Kelantan (31,316), Pahang (221), Perak (54) dan Johor (48).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keadaan cuaca yang semakin baik hari ini memudahkan pasukan keselamatan melakukan pencarian tujuh lagi mangsa hilang susulan tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor, pada 2.42 pagi Jumaat lepas yang menyaksikan 61 selamat dan 26 nyawa terkorban. - Bernama