3 penjawat awam didakwa terima rasuah, palsukan dokumen

Abdul Razak (kanan) dan Mohd Faizal (kiri) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.
Abdul Razak (kanan) dan Mohd Faizal (kiri) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga penjawat awam melibatkan dua Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak dan seorang kerani Kolej Vokasional, Pagoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang suapan serta memalsukan dokumen pada November 2019 lalu.

Abdul Razak Mohd Darom, 40, dituduh menerima RM4,500 daripada kerani Kolej Vokasional Pagoh, Siti Aminah Nahar, 39, bagi Perkhidmatan Penyediaan Makan Jamuan atau Mesyuarat bagi Perkhidmatan Makan dan Minum bagi Seminar Kecemerlangan Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah SM dan SK Tahun 2019.

Seorang lagi, Mohd Faizal Abd Razak, 37, dituduh menerima RM1,500 daripada wanita sama bagi Perkhidmatan Bekalan Makan dan Minum Bengkel Kerja Pengurusan Strategik PPD Tangkak.

Bagaimanapun, kedua-dua seminar dan bengkel kerja berkenaan dilaporkan tidak dilaksanakan.

Oleh itu, Abdul Razak dan Mohd Faizal didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Siti Aminah (tengah) didakwa empat pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Siti Aminah (tengah) didakwa empat pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Hazza Khalid diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Segamat, setiap bulan.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya menetapkan 19 Januari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, di mahkamah sama, Siti Aminah pula mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan utama melibatkan pemalsuan permohonan pesanan kerajaan, dokumen pembelian terus dan invois pembekal serta pesanan penghantaran yang berjumlah RM12,273.02.

Ibu kepada tujuh anak itu turut mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan pilihan apabila menggunakan kesemua dokumen terbabit sebagai dokumen tulen biarpun mengetahui ia adalah palsu.

Oleh itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 terhadap Siti Aminah dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 seorang dengan seorang penjamin.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail turut menetapkan 12 Januari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen selain Siti Aminah perlu melapor diri di Pejabat SPRM Segamat, setiap bulan.