Didik pengguna bahaya plastik

No Image Caption
A
A
A

KUALA SELANGOR - Rata-rata pengguna di Selangor memberi pelbagai reaksi mengenai langkah kerajaan Selangor untuk menyemak semula polisi penggunaan beg plastik mulai tahun depan.

Seorang pengguna, Muhammad Fuaddi Mohd Surati, 35, berkata, pendekatan yang dilaksanakan kerajaan Selangor itu mestilah keputusan menang-menang antara kerajaan negeri dan rakyat.

Menurut beliau, jika kerajaan Selangor bercadang hendak menambah kadar kutipan caj beg plastik melebihi 20 sen ia belum sesuai dilaksanakan pada masa sekarang.

“Meningkatkan caj kutipan beg plastik bukanlah penyelesaian terbaik, sebaliknya hanya mengundang beban mereka yang terpaksa membeli beg plastik setiap kali berbelanja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Fuaddi memberitahu, kerajaan negeri seharusnya menanam kesedaran dalam kalangan rakyat terlebih dahulu bagi mengurangkan penggunaan dan bahaya beg plastik.

“Rakyat sekarang ini lebih terdedah dengan media sosial dan medium seperti Facebook, TikTok dan selainnya dapat digunakan untuk menerangkan keburukan penggunaan beg plastik,” jelasnya.

Seorang lagi pengguna, Elyas Razali, 37, berharap kerajaan negeri seharusnya mengeluarkan perbelanjaan untuk menyediakan beg guna semula kepada masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan.

Jelas beliau, beg guna semula itu boleh didapati di premis atau pasar raya terpilih bagi mengurangkan impak penggunaan beg plastik sekali guna.

Artikel Berkaitan:

“Beg guna semula ini lebih mahal berbanding beg plastik sekali guna, tetapi ia secara tidak langsung dapat memberi kesan lestari yang besar kepada alam sekitar,” ujarnya.

Peniaga, Yulianti Suhairi, 33, pula memberitahu, kerajaan negeri diminta membuat kajian secara menyeluruh dan mendapatkan pandangan daripada masyarakat.

Jelasnya, pendekatan itu mestilah mengambil kira semua kepentingan bagi memastikan usaha kelestarian alam terus kekal terpelihara.

“Penguatkuasaan terhadap larangan beg plastik memang kami sokong, tetapi untuk dilaksanakan secara terburu-buru mungkin memerlukan penelitian secara menyeluruh,” kata Yulianti.

Bagi Muhammad Nazreen Mohd Zaini, 32, usaha mengurangkan penggunaan beg plastik amat disokong, namun kerajaan negeri juga perlu serius membanteras permasalahan plastik sampah yang bertaburan di tempat awam.

Katanya, walaupun caj plastik dinaikkan atau penggunaan beg plastik rendah, tetapi jika plastik dan sampah masih bertaburan ia dianggap masih belum berjaya.

“Kita mahu seimbang dari segi penggunaan beg plastik dan bilangan sampah sarap terbiar yang menyakitkan pandangan mata.

“Masalah sampah dan plastik bersepah ini juga perlu ditangani dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengenai penggunaan beg plastik,” tambahnya.

Peniaga butik, Norzehan Jiman, 54, pula berpendapat, hanya caj tinggi beg plastik dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, caj 20 sen dikenakan kerajaan tidak memadai sebaliknya jumlah itu perlu ditingkatkan bagi mengurangkan permintaan terhadap penggunaannya.

“Rakyat masih mampu membeli 20 sen setiap plastik yang diguna, tapi jika caj ini dinaikkan, maka rakyat akan berfikir dua kali untuk berbelanja.

“Jika permintaan beg plastik ini menurun, maka penggunaan beg plastik rendah dan secara tidak langsung kempen alam sekitar ini berjaya,” katanya.