Kerajaan perluas Kempen Tiada Beg Plastik

Nik Nazmi (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Madani 'Reusable Bag' dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart, Taman Berkeley di Klang pada Selasa.
Nik Nazmi (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Madani 'Reusable Bag' dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart, Taman Berkeley di Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Kerajaan mengorak langkah memperluas Kempen Tiada Beg Plastik yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.

Kempen ini dilaksanakan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan merupakan satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, empat negeri telah menyatakan sokongan dengan melaksanakan kempen itu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap pelan tindakan di bawah pelan ini supaya lebih berkesan dan rakyat memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut.

"Ini sekali gus mendorong mereka untuk bertindak atau membuat pilihan positif dan mesra alam serta secara tuntasnya, kesan penggunaan plastik sekali guna perlu dipupuk, dibudaya dan dijalankan secara berterusan.

"Melalui program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang dilaksanakan, diharap masyarakat dapat memahami rasional pengenaan caj pencemaran ke atas permintaan beg plastik di kaunter-kaunter premis tetap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Madani 'Reusable Bag' dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart, Taman Berkeley di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Urusan 99 Speed Mart Sdn Bhd, Lee Tiam Wah dan Pengarah Eksekutif 99 Speed Mart Sdn Bhd, Ng Lee Tieng.

Nik Nazmi menambah bagi fasa pertama iaitu sehingga 2021, kempen itu dilaksanakan di semua premis tetap dan seterusnya akan diperluaskan kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.

"Tujuan pengenaan caj ke atas beg plastik ini adalah sebagai satu bentuk pencegahan dan usaha membendung penggunaan beg plastik sekali guna merupakan salah satu produk sering dibuang secara tidak terkawal," katanya.

Beliau berkata, seperti mana diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), pelaksanaan kempen ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kaedah pelaksanaan adalah mengikut kesesuaian negeri masing-masing.

"Ia sama ada dari segi kadar caj yang dikenakan, kekerapan serahan kutipan, agihan di antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri serta penggunaan wang kutipan tersebut.

"Sebagai contoh, Selangor telah membuktikan walaupun dengan hanya mengenakan caj minimum iaitu 20 sen, pengurangan sebanyak dua juta beg plastik iaitu 9 peratus direkodkan berbanding dengan pelaksanaan inisiatif secara sukarela pada tahun 2017," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama dan penglibatan bersama pemegang taruh yang lain seperti pihak industri turut memainkan peranan dalam usaha menjayakan kempen ini.

"Apapun, kunci sebenar kepada kejayaan inisiatif ini adalah perubahan tingkah laku di kalangan orang awam dan juga peniaga.