Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan

Pasukan keselamatan membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Terengganu. - Foto APM
Pasukan keselamatan membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Terengganu. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan di Terengganu menunjukkan sedikit penurunan kepada 37,419 orang berbanding 37,792 orang yang direkodkan pada jam 8 pagi Selasa.

Sehingga jam 6 petang, sebanyak 10,441 keluarga dari lapan daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman ditempatkan di 300 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daripada jumlah itu, daerah Besut mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 9,225 orang melibatkan 2,461 keluarga dan semua mereka kini berlindung di 92 PPS yang dibuka di seluruh daerah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 8,574 orang daripada 2,310 keluarga di Kemaman dipindahkan ke 29 PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

“Di Hulu Terengganu, sebanyak 54 PPS masih dibuka bagi menempatkan 2,074 keluarga melibatkan 6,416 mangsa banjir diikuti Setiu seramai 4,988 mangsa daripada 1,418 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, seramai 2,913 mangsa daripada 831 keluarga di Dungun ditempatkan di 36 PPS dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding 2,484 orang pada jam 8 pagi.

Jelas beliau, jumlah mangsa banjir di Kuala Terengganu pula direkodkan seramai 2,252 daripada 594 keluarga dan setakat ini sebanyak 11 PPS dibuka bagi menempatkan semua penduduk terjejas.

“Bagi daerah Kuala Nerus, sebanyak 407 keluarga melibatkan 1,720 mangsa telah dipindahkan ke 11 PPS manakala Marang merekodkan 1,403 mangsa daripada 346 keluarga di 12 PPS,” katanya.

Artikel Berkaitan: