PDRM mohon lanjutan reman pegawai, anggota TUDM disyaki terlibat sindiket dadah

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon untuk melanjutkan tempoh reman terhadap 13 individu termasuk tujuh pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah menggunakan aset pasukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam sindiket itu untuk siasatan lanjut.
"Reman kita (PDRM) dapat lebih selama seminggu dan kita akan cuba mendapatkan tambahan reman selama lebih seminggu lagi bagi memastikan siasatan dapat diteruskan dan rangkaian sindiket ini dapat kita bawa ke muka pengadilan," katanya yang ditemui pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.
Sebanyak 25 pegawai kanan polis menerima lencana dan pangkat masing-masing pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu merupakan sinergi antara kedua-dua pasukan, TUDM dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam usaha membanteras musuh utama negara itu.
Minggu lepas, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya berjaya membongkarkan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Hussein berkata, pihaknya turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram.
Beliau berkata, pegawai dan anggota TUDM itu direman tujuh hari hingga hari ini dan Khamis (24 dan 26 November). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
