80 peratus gelanggang futsal di Johor rosak: Mohd Khuzzan

Keadaan pagar gelanggang futsal yang mengalami kerosakan.
Keadaan pagar gelanggang futsal yang mengalami kerosakan.
A
A
A

BATU PAHAT – Kerajaan Johor mendapati terdapat kira-kira 80 peratus gelanggang futsal di negeri ini mengalami kerosakan dan tidak dapat digunakan kerana tidak diselenggara dengan baik.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, di negeri ini sahaja, terdapat kira-kira 200 gelanggang futsal yang telah dibina dengan kebanyakannya dibina pada 2008 dan 2009.

“Ini bermakna kebanyakan gelanggang futsal yang ada ini telah berumur di antara 10 hingga 11 tahun dan kerajaan terdahulu ada peruntukan membina, tetapi mungkin tidak ada peruntukan untuk menyelenggara.

“Ada gelanggang futsal yang saya lihat sudah tidak sesuai digunakan kerana permukaan lantainya sudah rosak dan saya yakin jika gelanggang-gelanggang ini diselenggara dengan betul, kerosakan-kerosakan ini mungkin tidak akan bertambah teruk,” katanya.

Mohd Khuzzan (kiri) sewaktu melawat gelanggang futsal di Kampung Parit Guntong, Semerah, semalam.
Mohd Khuzzan (kiri) sewaktu melawat gelanggang futsal di Kampung Parit Guntong, Semerah, semalam.

Beliau yang juga ADUN Semerah berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke gelanggang futsal di sekitar daerah Batu Pahat, semalam.

Menurutnya, selain lantai, kerosakan lain yang dikesan adalah keadaan pagar yang sudah berlubang selain kemudahan-kemudahan asal yang lain seperti tiang gol, jaring, lampu dan tandas.

“Di Batu Pahat sahaja, saya dapati terdapat tujuh gelanggang kritikal iaitu di Parit Guntong, Taman Sri Sulong, Kampung Separap, Kampung Bintang, Kampung Muhibbah, Minyak Beku dan Taman Perdana.

Artikel Berkaitan:

“Tujuh gelanggang ini saya akan cadangkan untuk kerja-kerja baik pulih yang dijangka akan menelan kos kira-kira RM50,000 setiap satu dan selepas ini, gelanggang-gelanggang ini akan menggunakan lantai jenis campuran bitumen dan simen,” katanya.

Menurutnya, selepas kerja baik pulih selesai, gelanggang ini akan diserahkan semula kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk ditadbir urus.

Katanya, ini kerana kebanyakan gelanggang-gelanggang yang rosak sebelum ini diuruskan pentadbiran kampung dan persatuan belia, manakala gelanggang yang diuruskan PBT berada dalam keadaan memuaskan.

“Selepas ini saya akan pergi ke setiap daerah untuk melihat sendiri keadaan gelanggang yang memerlukan penambahbaikan kerana kita tidak mahu salah satu kemudahan disediakan kerajaan ini tidak dapat digunakan.

“Selain itu, kontraktor yang dilantik perlu melaksanakan kerja-kerja baik pulih ini dengan teliti, kerana jika kerosakan berlaku disebabkan projek tidak memenuhi spesifikasi tertentu, kerajaan terpaksa menampung peruntukan yang banyak untuk membaiki semula gelanggang ini,” katanya.