Adnan Mat kekal Presiden Cuepacs

Adnan Mat -Foto: ROSLI TALIB
Adnan Mat -Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Adnan Mat kekal menerajui Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi sesi 2022-2025.

Beliau sekali lagi dipilih menerajui kepimpinan tertinggi Cuepacs selepas Konvesyen Kongres Tritahunan yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lalu.

Adnan menewaskan bekas Timbalan Presiden, Zukifli Mohamed dengan undian sebanyak 1,108.

Dalam pada itu, Aminuddin Awang kekal sebagai Timbalan Presiden I setelah meraih 1,111 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Norhayati Abd Rashid mengisi jawatan Timbalan Presiden II yang baharu dengan 617 undi.

Turut mengekalkan kerusi adalah Abdul Rahman Mobd Nordin selaku Setiausaha Agung dengan 638 undi manakala Anuar Mamat mengisi jawatan Setiausaha Kewangan dengan 821 undi.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs turut menuntut agar gaji tahunan bagi penjawat awam peringkat rendah dinaikkan dari RM80 kepada RM180 setahun.

Adnan Mat (tengah) kekal sebagai Presiden Cuepacs pada Konvesyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-29 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre. -Foto: ROSLI TALIB
Adnan Mat (tengah) kekal sebagai Presiden Cuepacs pada Konvesyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-29 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre. -Foto: ROSLI TALIB

“Kenaikan RM80 setahun ini sudah tidak munasabah, kerajaan perlu unjurkan dan konvensyen telah mencadangkan agar kerajaan menggunakan kenaikan gaji yang baharu kepada penjawat awam dengan meletakkan minimum kenaikan RM180 setahun kepada gred yang paling rendah,” katanya dalam sidang akhbar selepas konvensyen kali ke-29 pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kali terakhir kenaikan gaji tahunan disemak pada 2012 lalu.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Perpaduan dapat merealisasikan tuntutan yang pernah dibuat oleh Cuepacs sebelum ini.

“Kita meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat melaksanakan perkara yang telah kami tuntut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, konvensyen itu turut mengusulkan agar kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.

“Cadangan itu pernah diutarakan kesatuan itu tiga tahun lalu namun terhenti disebabkan pandemik Covid-19 selain pertukaran kerajaan sebanyak tidak kali,” jelasnya.