Tragedi satukan rakyat Malaysia

Pasukan penyelamat giat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali sejak Jumaat.
Pasukan penyelamat giat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali sejak Jumaat.
A
A
A

TRAGEDI tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Hulu Selangor amat mendukacitakan kita semua.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi Jumaat setakat ini sudah mengorbankan 24 nyawa dan sembilan lagi masih belum ditemui.

Sepanjang tiga hari kejadian itu berlaku, kita dapat melihat semua pihak bersatu padu dan bekerjasama untuk mencari mangsa. Insiden ini telah menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi yang amat malang itu.

Inilah semangat yang kita ingin lihat demi negara yang amat kita kasihi dan cintai. Susah dan senang kita lalui bersama.

Menerusi perspektif yang lebih luas dan jauh, kerjasama semua pihak juga amat diperlukan pada ketika ini demi untuk memulihkan kembali negara yang sudah bertahun-tahun dalam konflik politik yang tidak berkesudahan.

Ini kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, sebuah kerajaan perpaduan telah berjaya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Walaupun tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan namun atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akhirnya sebuah kerajaan berjaya ditubuhkan.

Fokus utama kerajaan baharu ini ialah memastikan ekonomi negara dan kepentingan rakyat dapat dipertahankan bagi menghadapi cabaran pada tahun depan yang lebih getir.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama dan penyatuan daripada semua pihak amat-amat diperlukan pada ketika ini bagi membolehkan setiap cabaran itu dapat dihadapi dengan mudah.

Bagaimanapun, akhbar ini akan terus memainkan peranan penting untuk memastikan kerajaan yang ada pada hari ini berada pada landasan yang betul.

Tadbir urus yang baik dan usaha memerangi rasuah perlu jadi keutamaan kerajaan supaya wang negara dapat dibelanjakan dengan betul.

Akhbar ini juga berharap agar pembangkang dapat memainkan peranan dengan baik supaya mereka dapat bersama-sama membantu negara dengan idea serta cadangan yang bernas.

Kritikan pembangkang perlu didengari oleh kerajaan supaya segala keputusan yang ingin dilaksanakan adalah yang paling baik untuk negara.

Justeru itu, selamat bersidang kepada semua ahli-ahli Parlimen dan mula bekerja untuk rakyat.