MoU PH-BN permulaan pemerintahan ala diktator - Mas Ermieyati

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian persefahaman (MoU) yang memaksa ahli Parlimen undi usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dianggap tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perjanjian ditandatangani dan dimeterai parti politik bagi membentuk kerajaan PH-BN yang berlangsung pada Jumaat, juga haram, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.

"Klausa 4 MoU itu menyatakan kesemua ahli Parlimen wajib menyokong Perdana Menteri (PM) dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan PH-BN.

"Menurut Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Kami sentiasa akan menyokong sebarang ikhtiar untuk memastikan wujud kerajaan yang stabil, tetapi tidak dengan cara membelakangi perlembagaan dan undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH diwakili Anwar.

Dalam pada itu Mas Ermieyati turut menjelaskan, Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara ahli Parlimen mengundi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam artikel berkenaan dan ia hanya merangkumi situasi yang mana seseorang ahli Parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

Beliau menambah, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan mengenai peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti bahawa mana-mana ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya di bawah Artikel 49A.

Perkara tersebut katanya, boleh didapati dalam perenggan 21.4 Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan.

"Tidak mungkin Anwar dan pimpinan UMNO tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini. Jelas mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dalam satu tindakan terdesak bagi menakutkan dan mengugut ahli Parlimen mereka sendiri supaya menurut kehendak parti, walaupun ia membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen.

"Perlembagaan Persekutuan serta laporan jawatankuasa pilihan ini adalah jelas. Anwar dan parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Artikel 49A untuk ugut ahli Parlimen mengundi bagi menyokong Anwar sebagai PM pada Disember 19 atau lepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara berkaitan dengan kepercayaan.

"Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana beliau rasa betul demi kepentingan pengundi beliau.

"Ini juga jelas daripada keputusan dalam kes Mahkamah Agung, Datuk Ong Kee Hui vs Sinyium Anak Mutit (1983) 1MLJ 36. Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap ahli Parlimen dari parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator," katanya.