Kereta elektrik bawah RM100,000 tak jejas jualan kenderaan petrol

Gambar hiasan. Gambar kecil: Aishah
Gambar hiasan. Gambar kecil: Aishah
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berpandangan cadangan kerajaan membawa masuk kenderaan elektrik (EV) di bawah harga RM100,000 dilihat tidak menjejas atau memberi impak kepada penjualan kenderaan petrol.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, kemasukan EV adalah satu usaha yang baik dalam mempelbagaikan pilihan dan jenis kenderaan di pasaran Malaysia.

"Memang kita sokong dengan cadangan kerajaan itu dan berharap lebih banyak EV boleh dijual di pasaran Malaysia.

"(Malah, tidak memberi kesan atau persaingan kepada kenderaan petrol) kerana yang menjual EV adalah ahli-ahli kami, bukan dari kumpulan berbeza yang menjual atau mencuba EV.

"(Kecuali) impaknya terhadap kenderaan petrol apabila jumlah stesen pengecas EV yang akan disediakan di seluruh Malaysia (bertambah) dan jenis kenderaan yang akan dibeli oleh orang ramai pula tertakluk kepada kemampuan mereka, kualiti, waranti serta kebolehpercayaan kenderaan," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan bercadang membawa masuk EV di bawah harga RM100,000 bagi memberi manfaat kepada golongan pertengahan sekali gus mencapai hasrat menjadikan negara rendah karbon pada masa depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui kebanyakan harga EV kini melebihi RM100,000 dan sudah tentu ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat.

Sehubungan itu, Aishah turut berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan syarikat automotif agar insentif EV boleh dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap agar lebih banyak dan ditambah baik stesen pengecas di seluruh Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!