Mydin sumbang RM100,000 untuk anak yatim, asnaf

Ameer Ali bersama isteri, Siti Hawa memakaikan baju Melayu kepada salah seorang penghuni Rumah Jalinan Kasih
Ameer Ali bersama isteri, Siti Hawa memakaikan baju Melayu kepada salah seorang penghuni Rumah Jalinan Kasih
A
A
A

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menerusi program ‘Jelajah Mydin Prihatin Syawal’ telah menyumbangkan sebanyak RM100,000 untuk anak yatim dan asnaf membuat persiapan hari raya.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, inisiatif tersebut akan memanfaatkan seramai 600 orang penerima dari rumah kebajikan berdaftar di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Serawak.

“Pada hari ini, kita meraikan seramai 53 orang kanak-kanak dari Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Rumah Jalinan Kasih untuk menerima inisiatif berkenaan.

“Menerusi program ini, kanak-kanak lelaki akan menerima set lengkap baju Melayu termasuk songkok dan sampin, manakala baju kurung serta tudung bagi kanak-kanak perempuan,” katanya ketika ditemui di Mydin USJ, pada Rabu.

Jelas Ameer Ali, kanak-kanak itu boleh memilih sendiri warna baju yang mereka inginkan kerana inisiatif tersebut bukan sekadar berkongsi rezeki tetapi mahu golongan berkenaan merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau berkata, program tersebut sudah menjadi acara lazim buat pihak syarikat setiap kali menjelangnya musim perayaan.

Ujar beliau, program tanggungjawab sosial korporat itu adalah hasil kerjasama daripada 53 rakan strategik yang mengumpulkan dana melalui pembelian barangan terpilih bagi jenama tertentu.

Ameer Ali bersama-sama 53 orang kanak-kanak penerima inisiatif program Jelajah Mydin Prihatin Syawal di Mydin USJ pada Rabu.
Ameer Ali bersama-sama 53 orang kanak-kanak penerima inisiatif program Jelajah Mydin Prihatin Syawal di Mydin USJ pada Rabu.

“Contohnya setiap pembelian barangan jenama terpilih yang berharga RM5, sebanyak RM0.10 atau RM0.20 akan disalurkan ke dana Mydin Prihatin.

“Bukan itu sahaja, pihak kami juga bekerjasama dengan MBSB Bank yang mana mereka turut membawa anak-anak daripada rumah-rumah kebajikan untuk membeli barangan di Mydin,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Mydin dengan kerjasama Cadbury telah mengagihkan hampir 1,000 balang kuih tart coklat kepada golongan yang memerlukan itu.

Jelas beliau, diharapkan sumbangan itu dapat memberikan makna yang besar, mengukir senyuman dan keceriaan menjelang Syawal pada tahun ini.

Sementara itu, Pengasas Rumah Jalinan Kasih, Norlela Othman berkata, sebelum ini pihaknya pernah menerima sumbangan serupa daripada pihak Mydin pada tahun 2018.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana berpeluang sekali lagi untuk menjadi penerima inisiatif. Saya dapat lihat anak-anak (penghuni rumah kebajikan) begitu gembira membuat pembelian kelengkapan baju raya di Mydin,” ujarnya.