Bapa kesal sekolah gagal selesai kes anak cedera

Hong Shun (tengah) bersama isteri dan anaknya menunjukkan gambar kesan kecederaan sewaktu kejadian.
Hong Shun (tengah) bersama isteri dan anaknya menunjukkan gambar kesan kecederaan sewaktu kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga China kesal dengan pengurusan sebuah sekolah antarabangsa di Segambut di sini yang gagal menyelesaikan kes anaknya yang cedera ketika berada dalam kawasan sekolah, 15 Mac lalu.

Pengadu, Liang Hong Shun, 36, mendakwa, anaknya luka di dahi selepas ditolak seorang kanak-kanak perempuan ketika bermain di taman permainan kawasan sekolah itu kira-kira jam 1 tengah hari, pada hari kejadian.

Menurutnya, anaknya menerima empat jahitan susulan kejadian itu dan mengambil masa selama seminggu untuk proses penyembuhan.

"Isteri juga kesan ada luka berhampiran alat sulit anak saya pada 1 April lalu. Sampai sekarang pihak sekolah tak mahu jumpa kami dan beri jawapan berkenaan kedua-dua kejadian melibatkan anak saya.

"Pihak sekolah hanya beritahu rawatan sebanyak RM300 untuk jahitan luka. Tapi tak ada apa-apa tindakan. Saya mahu jaminan keselamatan untuk pastikan tak ada insiden sama berulang pada masa akan datang," katanya pada sidang media di pejabat DAP Kepong di Metro Prima Kepong di sini, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai ahli perniagaan di sini bertindak membuat laporan polis bagi menuntut keadilan ke atas anaknya.

Jelasnya, dia memperuntukkan sebanyak RM30, 000 setahun bagi kos persekolahan anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

"Sejak kejadian itu saya masih hantar anak ke sekolah sama, tapi dia dah tak ceria macam dulu.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu pihak sekolah beri laporan penuh berhubung siasatan kes anak saya dan menuntut lanjutan kos rawatan pada masa akan datang termasuk pemulihan parut," katanya.

Katanya, dia melihat pihak sekolah tidak telus dalam mengendalikan kes anaknya dan cuba menyembunyikan keadaan sebenar menyebabkan sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kepong, Yew Jia Haur berkata, pihaknya telah menghubungi pengurusan sekolah tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkembangan siasatan itu.

"Guru besarnya memaklumkan pihaknya masih mengumpul maklumat berkenaan kejadian tersebut disebabkan ketiadaan bukti kukuh ketika kejadian.

"Malah, terdapat juga beberapa maklumat mengelirukan berkenaan kejadian yang ada antaranya mendakwa kanak-kanak itu terjatuh sendiri dan ada juga dakwaan pihak lain yang menolaknya," katanya.

Katanya, pihaknya telah meminta pihak sekolah tampil mengadakan perbincangan berhubung penyelesaian terbaik kepada kedua-dua belah pihak.

"Namun, pihak sekolah memaklumkan telah melantik peguam bagi menyelesaikan kes tersebut," katanya.