NGO cadang LAP tambah tangki statik

Sharifah Hazlina melihat pekerja LAP mengisi air dari tangki ke dalam bekas yang disediakan penduduk di hadapan rumah mereka
A
A

GERIK - Kerajaan Negeri Perak melalui Lembaga Air Perak (LAP) perlu menambah jumlah tangki statik yang dipasang di Kampung Ganda Temengor bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air dihadapi penduduk.

Setiausaha Kelab Kebajikan dan Sosial Masyaraka Penyayang Hulu Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa berkata, cadangan tersebut adalah sebagai langkah segera memandangkan pelbagai masalah dihadapi penduduk selepas Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda ditutup sejak minggu lalu akibat pencemaran.

"Saya terima pelbagai aduan daripada penduduk dan paling ketara mereka risau bekalan air tidak mencukupi lebih-lebih lagi bulan puasa semakin hampir kemudian hari raya pula.

"Kata mereka kalau loji ditutup tiga bulan sudah pasti keadaan akan jadi semakin sukar dan kerajaan perlu menambah bekalan air yang dihantar ke kampung setiap hari menggunakan lori tangki," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama penduduk, di sini, hari ini.

Menurut Sharifah Hazlina, pihaknya melihat pemasangan tangki air statik oleh LAP merupakan langkah tepat namun ia perlu ditambah memandangkan jumlah yang ada tidak mampu menampung permintaan penduduk.

"Kita berterima kasih kepada menteri besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan juga LAP yang prihatin selain memasang tangki statik mereka juga turut membekalkan air bersih menggunakan tangki, namun jumlah tersebut tidak dapat menampung kegunaan lebih 1,500 penduduk.

"Kerana itu jumlah tangki statik perlu ditambah bagi memudahkan penduduk mengambil air bila tiada tanpa perlu menunggu lori tangki masuk dan berhenti di rumah mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa curi air tadahan penduduk selepas LRA Ayer Ganda ditutup

ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Ayer Ganda terima bekalan air terawat

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran arsenik: LRA Sungai Ganda diarah tutup

Sementara itu, Pengarah LAP Datuk Ir Mohd Yusof Isa ketika dihubungi pemberita memaklumkan LAP akan menambah jumlah lori tangki serta tangki statik di kampung berkenaan.

"Bagi meningkatkan bekalan LAP akan tambah lori tangki dari enam buah kepada lapan buah dengan kekerapan penghantaran adalah tiga kali setiap lori.

"Tangki statik juga akan ditambah dari 13 kepada 18 buah dengan kapasiti setiap tangki adalah sebanyak 1,500 liter air," katanya.