Cadang program libat KRPPM-IGAR diadakan setiap negeri

Antara tetamu yang hadir program bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf hari ini. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Antara tetamu yang hadir program bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf hari ini. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan agar program melibatkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) diadakan di setiap negeri dan kampus di negara ini.

Menurutnya, program sedemikian dapat mendidik masyarakat terutama golongan muda supaya tidak terjebak dengan rasuah selain mencegah perbuatan tersebut sejak dari awal.

"Anak muda perlu kenal dan apa itu isu rasuah memandangkan mereka merupakan pemimpin di pelbagai sektor pada masa akan datang.

"Jadi pentingnya menjelaskan kepada mereka bahawa rasuah itu menyebabkan kerosakan dan kerugian pada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas sidang media KRPPM-IGAR bertempat di Auditorium Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Penubuhan KRPPM-IGAR telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pada 3 April lalu, bertujuan untuk menggubal, menambah baik dan memperkasa polisi serta dasar berkaitan anti rasuah dan tadbir urus negara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Mengulas lanjut, Khoo berkata, program diadakan pada hari ini merupakan suatu program baik selain memberi impak positif kepada semua pihak memandangkan selama ini negara kekurangan program sedemikian terutama dari segi usaha mewujudkan kesedaran tentang anti rasuah.

"Hari ini kita boleh lihat semua pihak dikumpulkan termasuk pakar, NGO malah kehadiran kehadiran pelajar universiti pula merupakan langkah bagus dalam mendedahkan mereka tentang kesan buruk akibat rasuah.

"Jadi lebih baik memberi kefahaman kepada mereka apa itu anti rasuah supaya apabila mereka masuk kehidupan sebenar dan alam pekerjaan nanti mereka sudah ada kesedaran tentang membasmi rasuah," ujarnya.