Curi kereta ditinggalkan lama di parkir

Wan Kamarul Azran (kanan) menunjukkan komponen kenderaan curi yang dirampas susulan penahanan empat suspek di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Wan Kamarul Azran (kanan) menunjukkan komponen kenderaan curi yang dirampas susulan penahanan empat suspek di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
A
A
A

SEPANG - Polis membongkar kegiatan curi kenderaan yang ditinggalkan lama di kawasan parkir susulan penahanan empat lelaki di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tangkapan pertama Op Khas Lejang pada 5 Disember berjaya menahan dua suspek di Cyberjaya manakala dua lagi suspek ditahan secara berasingan pada 13 Disember di sekitar Klang dan Sepang.

Menurutnya, serbuan terbabit membawa kepada rampasan 23 komponen kenderaan seperti pintu, bonet dan bumper kereta, sebuah lori tunda dan tiga rangka kereta jenis Proton Satria, Gen-2 dan Wira.

"Siasatan mendapati suspek adalah pengurus bangunan, pemilik bengkel, pemilik premis barang lusuh dan pemandu trak tunda.

"Suspek mengaku terdapat enam kereta yang dicuri di sekitar Cyberjaya iaitu dua Proton Gen-2, Proton Wira (dua) dan Proton Satria (dua)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Khamis.

Wan Kamarul Azran (kanan) menunjukkan rangka kenderaan curi yang dirampas susulan penahanan empat suspek di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Wan Kamarul Azran (kanan) menunjukkan rangka kenderaan curi yang dirampas susulan penahanan empat suspek di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah mencuri kereta yang telah lama diletakkan di kawasan parkir dengan menunda ke bengkel salah seorang suspek untuk dileraikan.

Katanya, komponen yang dilerai akan dijual di kedai alat ganti kenderaan manakala rangka kereta akan dijual di kedai besi buruk.

Artikel Berkaitan:

"Dipercayai geng ini telah aktif sejak dua bulan lalu," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia 26 hingga 40 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.