Lima ditahan kes pecah rumah, curi kenderaan di tiga negeri

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis menahan lima lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pecah rumah dan curi kenderaan di Melaka, Selangor dan Johor melibatkan nilai rampasan lebih RM300,000.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua suspek berumur 38 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Melaka menerusi Op Pintu Khas pada 18 dan 19 Mei lepas.

Beliau berkata, penahanan lima suspek berkenaan ekoran kejadian pecah rumah dan curi kenderaan yang dilakukan kumpulan penjenayah itu di sebuah rumah di Taman Songket, Batu Berendam di sini kira-kira 2.32 petang pada 17 Mei.

"Kumpulan penjenayah berkenaan telah melarikan beberapa barangan berharga bernilai RM15,000 di rumah seorang mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik pada 17 Mei lepas dan susulan laporan yang diterima, polis Melaka melancarkan Op Pintu Khas bagi mengesan suspek terlibat.

"Menerusi operasi berkenaan, tiga suspek berjaya ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor kira-kira 11.30 malam pada 18 Mei lepas," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, suspek keempat ditahan di sebuah premis di Taman Sri Wangi, Kapar, Selangor kira-kira 3.15 pagi pada 19 Mei, manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah kondominium di Cheng di sini kira-kira 10.45 pagi hari yang sama.

Katanya, empat daripada lima suspek itu mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah dan saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphethamine.

Zainol berkata, pelbagai barangan dirampas antaranya minuman keras berjenama, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai mata wang asing.

Beliau berkata, tiga kenderaan turut dirampas dan dua daripadanya iaitu Kia Cerato dan Honda City merupakan kenderaan curi, masing-masing dilaporkan hilang di Permas Jaya, Johor dan Klang, Selangor.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan cara memecah masuk rumah yang ditinggalkan pemilik pada waktu siang dan suspek akan memotong kunci mangga menggunakan alat pemotong besi untuk memotong jeriji besi dan mengumpil pintu rumah.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek telah mengaku melakukan lebih 10 kes jenayah pecah rumah dan curi kereta di kawasan perumahan di sekitar Melaka, Johor dan Selangor," katanya.

Zainol berkata, kesemua mereka direman selama enam hari bermula Sabtu (20 Mei) bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama