Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

Ahmad Sukarno menunjukkan peralatan khas yang digunakan Geng Sasi Navy untuk mencuri kenderaan. - Foto: SINARHARIAN/ Rosli Talib
Ahmad Sukarno menunjukkan peralatan khas yang digunakan Geng Sasi Navy untuk mencuri kenderaan. - Foto: SINARHARIAN/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR -Tiga lelaki termasuk seorang pesara Tentera Laut ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalang sindiket yang dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita turut merampas dua buah kenderaan dan peralatan untuk mencuri serta beberapa keping nombor plat pendaftaran palsu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Selasa.

Ahmad Sukarno menunjukkan kereta yang dilaporkan curi berkata dijumpai semula. - Foto: SINARHARIAN/ Rosli Talib
Ahmad Sukarno menunjukkan kereta yang dilaporkan curi berkata dijumpai semula. - Foto: SINARHARIAN/ Rosli Talib

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero.

"Setelah sesebuah kenderaan itu dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan khas (jammer) untuk membuka kunci kenderaan tersebut.

"Kenderaan yang dicuri itu akan dijual semula dengan harga lebih murah ke Thailand," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 14 Mei hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

“Kini kesemua suspek telah diserah kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes di sana. Susulan daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.