'Pak Long' dalang kes pecah rumah, curi motosikal diberkas

Hoong Fong
Hoong Fong
A
A
A

KLANG - Kegiatan pecah rumah dan curi motosikal yang dilakukan enam sekawan memakan diri selepas diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula jam 2.37 pagi.

"Serbuan ini turut membawa rampasan dua motosikal curi. Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek lain yang terlibat.

"Tindakan juga dijalankan untuk mengesan motosikal dan barangan yang masih dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Hoong Fong, siasatan mendapati salah seorang suspek ditahan dikenali sebagai 'Pak Long' adalah dalang kegiatan terbabit yang telah aktif sejak lima bulan lalu.

Katanya, penahanan kesemua suspek terbabit susulan laporan diterima Balai Polis Pandamaran daripada mangsa pada Ahad lalu selepas kediamannya di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah dipecah masuk.

"Wanita berusia 70 tahun itu mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas enam motosikal, basikal, mesin jahit dan beberapa barangan lain dilarikan," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek kini direman empat hari bermula sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: