Anggota bomba melecur selepas terjatuh dalam tanah jerlus

Ismail (kiri) bertanya keadaan Noriaidil yang melecur pada kedua-dua betis akibat tanah jerlus di hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi.
Ismail (kiri) bertanya keadaan Noriaidil yang melecur pada kedua-dua betis akibat tanah jerlus di hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi.
A
A
A

PEKAN - Seorang anggota Balai Bomba Pekan melecur pada kedua-dua betisnya selepas ditarik tanah jerlus ketika memantau dan meninjau lokasi titik panas dalam kawasan hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi di Sungai Miang di sini yang terbakar sejak awal bulan lalu.

Noriaidil Norizal, 30, mengakui tidak menyangka berdepan dengan situasi getir pada Hari Raya Kedua dan bersyukur selepas diselamatkan dua rakan setugasnya.

Menurutnya, kejadian hitam itu berlaku begitu pantas dan secara tiba-tiba dirinya sudah berada dalam tanah jerlus di hutan paya gambut terbabit.

"Sebelum memasuki kawasan kebakaran, pegawai bertugas telah memberi ingatan supaya berhati-hati ketika berjalan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Saya pula mempunyai pengalaman dan pernah mengikuti operasi sebelum ini.

"Namun, saya tidak sangka, ketika berjalan saya ditarik tanah jerlus sehingga ke paras pinggang. Jarak antara saya dengan dua lagi rakan setugas dianggarkan 20 meter," katanya ketika ditemui di Balai Bomba Pekan di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani turut melawat Noriaidil yang sedang bercuti sakit akibat kecederaan yang dialami pada 23 April lalu.

Noriaidil yang juga anggota unit menyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memberitahu di bawah tanah tersebut terdapat bara api, selepas terasa panas.

Beliau kemudian cuba menggagahkan diri untuk berdiri dan keluar dengan bantuan dua rakan yang menariknya.

Kawasan hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi di Sungai Miang di Pekan terbakar sejak awal bulan lalu.
Kawasan hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi di Sungai Miang di Pekan terbakar sejak awal bulan lalu.

Ujar Noriaidil, walaupun seluar tidak terbakar namun panas bara api menyebabkan betisnya melecur.

"Saya menanggung azab yang sangat teruk dan ingatkan akan mati apabila panas bara api dalam tanah mula membakar betis dengan begitu pantas.

"Kalau saya lambat menyelamatkan diri keluar dari tanah jerlus itu tidak mustahil bahagian pinggangnya hingga ke kaki akan melecur dan terbakar," ceritanya lagi.

Noriaidil berkata, kecederaan itu menyebabkannya dirinya tidak mampu berjalan dan bantuan unit kecemasan JBPM Pahang diperlukan untuk membawanya keluar dari kawasan kebakaran bagi mendapat rawatan lanjut di hospital.

Menurutnya, anggota yang bertugas memadam kebakaran hutan paya gambut sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JBPM, namun tidak diduga kemalangan berlaku tanpa disangka.

"Selepas lapan tahun bertugas sebagai anggota JBPM Pahang, ini pengalaman pertama saya mengalami kemalangan yang dianggap serius, sebelum ini hanya kemalangan kecil yang merupakan asam garam sebagai anggota bomba dan penyelamat.

"Setiap hari saya mendapatkan rawatan di klinik Kampung Nenas, bagi mencuci kesan melecur dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak," katanya yang bertugas pada Aidilfitri kali ini.

Difahamkan kebakaran kawasan hutan paya gambut di Jalan Pekan-Nenasi di Sungai Miang memusnahkan kira-kira 30 hektar kawasan hutan terbabit yang bersempadan dengan projek ladang kelapa sawit.