Enam ditahan dipercayai terlibat kes pecah rumah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan Nusa Bestari.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, kesemua suspek ditahan sekitar jam 2.51 pagi Selasa lalu hasil maklumat dan risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

“Kesemua suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik manakala seorang suspek mempunyai cap jari positif dengan kes lain.

“Polis turut membuat beberapa rampasan ekoran penangkapan tersebut,” katanya pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah kediaman. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga10 tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu, Rahmat berkata, permohonan reman orang kena tuduh (OKT) dibenarkan selama tiga hari bermula 11 April dan disambung reman selama dua hari mulai 14 April.