Lan Pet Pet didenda RM2,000 pukul pengawal keselamatan

Pelawak tanah air semasa di bawa ke Mahkamah Seremban, 8 April lalu.
A
A

SEREMBAN - Pelawak terkenal Mazlan Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet,49, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah memukul seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Nilai pada 6 April lalu.

Bekas anggota kumpulan pelawak Senario itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof, pagi tadi.

Selepas pengakuan direkodkan, mahkamah kemudiannya memutuskan hukuman denda RM2,000 atau penjara selama lapan bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, pelakon itu kemudiannya membayar denda tersebut di Mahkamah Seremban tengah hari tadi.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak terkenal disiasat polis kerana dipercayai memukul seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang juga pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di Nilai.

Dalam kejadian 6 April itu, kira-kira jam 8 malam, pelawak tersebut dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan berkenaan, Yahya Manap sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa.

Dia dipercayai bertindak demikian gara-gara berang ditegur oleh pengawal keselamatan tersebut kerana tidak membuat catatan dalam buku pelawat semasa memasuki kawasan perumahan itu.

Lan Pet Pet kemudian ditahan polis pada 7 April semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sebelum dibebaskan keesokannya dengan jaminan polis kerana mahkamah tidak membenarkan dia ditahan reman.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pukul, pelawak dibebaskan dengan jaminan polis