'Banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan saya' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gesaannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini adalah tindakan tepat.

Ia berikutan banjir besar tidak berlaku pada tempoh itu meskipun ada pihak yang menjangkakannya.

"Banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya. Tapi alhamdulillah, ALLAH SWT memihak kepada saya," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini pada Selasa.

Menurutnya, taburan hujan yang tinggi yang akan menyebabkan bencana banjir dijangka berlaku bermula Sabtu ini.

"Kesiapsagaan mesti dilakukan dengan koordinasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri, daerah dan pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Sebelum ini, 12 menteri Perikatan Nasional mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Antara alasan yang dikemukakan adalah mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula dengan banjir dijangka melanda beberapa negeri di Malaysia terutama di pantai timur.

PRU15 yang berlangsung pada 19 November lalu menyaksikan beberapa pusat pengundian termasuk di pedalaman Sarawak dilanda banjir.

Artikel Berkaitan:

Keadaan cuaca buruk juga memaksa proses pengundian di Parlimen Baram, Sarawak terpaksa digantung sebelum dilaksanakan semula pada 21 November 2022.