Senarai portfolio Exco Pahang diumum esok

Wan Rosdy (tengah) merasmikan majlis penutup Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur.
Wan Rosdy (tengah) merasmikan majlis penutup Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur.
A
A
A

KUANTAN - Senarai portfolio bagi 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang yang baru dilantik menerajui Kerajaan Perpaduan akan diumumkan esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kini penentuan portfolio itu sudah di peringkat akhir untuk dimuktamadkan setelah mengambil kira kemampuan dan kepakaran setiap Exco.

"Esok (Rabu) saya akan umum portfolio Exco dan insya-ALLAH kita mengambil kira pelbagai latar belakang, keupayaan dan kemampuan mereka serta dapat menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

"Saya percaya mereka boleh menjalankan tugas sebagaimana yang telah ditetapkan dan melaksanakan tugas sebaiknya," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis penutup Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur di sini.

Pada 2 Disember lalu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Razak Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau), dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN- Bebar) masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Diikuti lima lagi ADUN iaitu Ir Razali Kassim (BN-Muadzam Shah); Datuk Mohd Nizar Najib (BN-Peramu Jaya), Datuk Seri Johari Harun(BN-Pelangai) Datuk Sabariah Saidan (BN-Guai) dan Fadzli Mohamad Kamal (BN-Dong) merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Turut tersenarai dua wakil gabungan parti dalam PH iaitu Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP-Triang).

Menyentuh mengenai majlis penutupan Pahang Plantations and Commodities Festival, Wan Rosdy menjelaskan program ini penting dalam memacu masa hadapan Pahang yang kini memberi tumpuan kepada jaminan dan keselamatan makanan melalui pertanian, penternakan, perladangan dan sektor-sektor yang berkaitan dengan penghasilan sumber makanan.

Tambahnya, menerusi Belanjawan 2023, beberapa langkah, strategi telah disusun Kerajaan Pahang mengikut sektor dan industri dengan matlamat menyuntik rangsangan kepada industri berkaitan kecukupan bekalan serta agromakanan.

Katanya, sebagai pengeluar utama daging lembu di Semenanjung Malaysia, pemerkasaan sokongan terhadap warga penternak dan industri hiliran adalah prasyarat yang mesti diperkukuhkan.

"Justeru, Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.97 juta, bagi membolehkan industri penternakan Pahang terus berkembang dan kekal mampan.

"Selain itu, bagi meningkatkan pengeluaran makanan pula, Kerajaan Pahang akan memastikan para petani yang terlibat dalam pembangunan projek pertanian terancang, didedahkan dengan pelbagai teknologi pertanian terkini," kata beliau mahu memastikan kecukupan bekalan makanan di negeri ini.

Wan Rosdy memaklumkan konsep pertanian pintar dan kemudahan internet seperti penggunaan dron bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, dan seterusnya meningkatkan pengeluaran hasil.

Tegasnya, bagi menjayakan usaha ini, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM3.35 juta bagi membantu para petani di seluruh Pahang.

"Bagi memastikan pengeluaran makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan tanaman kontan menepati piawaian serta selamat dimakan, bilangan Ladang Berstatus myGAP yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik atau Good Agriculture Practice, akan ditingkatkan," ujar beliau.

Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan beberapa inisiatif lain akan turut dilaksanakan iaitu pengeluaran tanaman baharu yang berpotensi seperti sacha inchi, vanila dan buah tin, akan dipertingkat dengan mengaplikasikan teknologi rumah hijau atau

green house, melalui peruntukan RM1 juta.

Menurutnya, Kerajaan Pahang akan merancakkan penghasilan baka ternakan premium seperti lembu Wagyu, dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta.

"Pada masa yang sama, sebanyak RM3 juta lagi akan diperuntukkan kepada 300 induk baka bagi menjayakan inisiatif ini.

"Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan program Usahawan Tani Fertigasi dengan melibatkan 40 buah kampung di seluruh Pahang. Setiap 10 individu yang layak daripada setiap kampung tersebut akan menerima RM10,000. Keseluruhan projek ini akan menelan belanja sebanyak RM400,000," jelas beliau.