Sah perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA ditamatkan

Mohd Shafiq Abdullah
Mohd Shafiq Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengesahkan penamatan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkuat kuasa Isnin.

Menerusi kenyataan pada Selasa, Mohd Zuki berkata, keputusan itu diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, penamatan itu adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [Akta 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

"Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Mohd Shafiq dilantik memegang jawatan itu pada 10 Februari lalu menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari 2022.

Sebelum ini, tular sepucuk surat penamatan tugas Mohd Shafiq yang bertarikh 1 Disember lalu dan ditandatangani Mohd Zuki.

Mohd Shafiq pernah terpalit kontroversi sebelum ini apabila dituduh mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel Berkaitan:

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menjelaskan bahawa Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap Imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Namun, beberapa pihak termasuk Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos tampil menggesa Mohd Shafiq melepaskan jawatannya secara terhormat ekoran isu moralnya itu disifatkan mencalar imej perkhidmatan awam.