Penumpang lega operasi Terminal Feri Pasir Gudang diteruskan

Penumpang dari Batam, Indonesia sejurus tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada Ahad.
Penumpang dari Batam, Indonesia sejurus tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Penumpang Terminal Feri Pasir Gudang di Pelabuhan Johor di sini ke Batam, Indonesia, menarik nafas lega dan gembira apabila operasinya disambung semula pada Ahad.

Fati Jamal, 51, yang berasal dari Batu Agi, Batam, bersyukur kerana operasi di terminal feri berkenaan diteruskan selepas lebih 20 tahun menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Saya menggunakan perkhidmatan di terminal feri ini dua kali sebulan untuk melihat dua anak berusia 21 dan 26 tahun di Batam.

Walaupun ada terminal feri lain di daerah ini seperti di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri, saya lebih suka dan serasi di Terminal Feri Pasir Gudang.

"Ini kerana saya yang tinggal di Ulu Tiram, Johor Bahru bersama suami yang merupakan rakyat tempatan merasakan perjalanan ke sini kurang sesak, tidak terlalu ramai penumpang dan amat mudah," katanya ditemui pemberita di Terminal Feri Pasir Gudang, pada Ahad.

Terdahulu, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto melakukan lawatan di terminal berkenaan dengan diiringi Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, Mohd Tuah Mohd Amin.

Sigit (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Mohd Tuah (kiri) berkenaan operasi di Terminal Feri Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada Ahad
Sigit (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Mohd Tuah (kiri) berkenaan operasi di Terminal Feri Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada Ahad

Bagi Arif Suswanto, 36, dari Kampung Jawa, Batam, yang sudah tiga bulan bekerja di Kempas, Johor Bahru, mengakui terkejut apabila mendapat tahu operasi di terminal tersebut diteruskan dan menyifatkan keputusan itu tepat sekali kerana ramai pihak menerima manfaatnya termasuk para pelawat dan pelancong dari Batam ke Johor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemandu teksi di terminal tersebut, Mohd Noh Yap Abdullah, 65, berkata, keputusan itu menghilangkan kebimbangan 47 pemandu teksi yang beroperasi di situ.

"Di terminal ini mudah untuk mendapat pelanggan yang juga penumpang feri pada setiap hari. Selain itu kewujudan terminal ini penting kerana mampu melonjakkan aktiviti pelancongan di Johor," katanya.

Rakannya, Rasul Saleh, 70, bersetuju dengan pendapat Mohd Noh tetapi berharap pihak berkenaan membanteras kegiatan teksi sapu di terminal itu kerana tidak adil agi mereka selain perlu bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

"Pada masa sama kita tidak tahu sampai bila operasi di terminal ini akan diteruskan. Kami harap bukan untuk sementara dan terminal dapat beroperasi sampai bila-bila," katanya yang sudah 30 tahun membawa teksi di kawasan itu.

Dalam pada itu, Mohd Tuah berkata, operasi di terminal tersebut beroperasi seperti biasa dan diharap orang ramai terus menggunakan perkhidmatan berkenaan dan memaklumkan tiada perubahan bagi jadual operasi feri.

"Selepas tersebar berita operasi di terminal ini dihentikan semalam, penumpang berkurangan pada hari ini. Kita harap orang ramai ambil maklum operasi diteruskan. Terminal ini memberi banyak manfaat kepada peniaga, pemandu teksi dan sektor pelancongan di Johor.

"Terdapat empat perjalanan dari Pasir Gudang-Batam dan empat lagi perjalanan Batam-Pasir Gudang sehari. Kita menerima kira-kira 800 penumpang sehari iaitu 90 peratus daripadanya warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap (PR)," katanya.