PRN: PN Negeri Sembilan sasar sekurang-kurangnya 19 kerusi

Eddin Syazlee (tujuh dari kiri) menerima borang penubuhan Bersatu dan keahlian pada majlis itu.
Eddin Syazlee (tujuh dari kiri) menerima borang penubuhan Bersatu dan keahlian pada majlis itu.
A
A
A

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan bagi membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, dengan usaha kepimpinan yang tinggi selain kemenangan di Parlimen Padang Serai memberi petunjuk ia tidak mustahil untuk dicapai.

"Kita sasar dua atau tiga kerusi DUN di setiap Parlimen tetapi kita sedar bahawa tanggungjawab yang digalas itu bukan satu perkara yang mudah.

"Jadi dalam tempoh yang ada ini kita perlu gunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki serta memperbetulkan kesilapan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Malam Aspresiasi Jentera PN dan Bersatu Bahagian Rembau di Senawang pada Sabtu malam.

Beliau berharap berharap gabungan itu dapat kekalkan momentum supaya PRN kali ini mereka lebih bersedia untuk berhadapan dengan parti lawan.

"Kita pun dah dapat signal yang cukup baik dari keputusan pilihan raya Padang Serai, kita yakin dan sangat memberikan tumpuan terutamanya sekali kepada pengundi muda yang dahagakan perubahan.

"Mereka (pengundi muda) mahu memberi sokongan kepada PN berdasarkan hala tuju dan perjuangan yang dibawa oleh PN malah perkembangan yang berlaku selepas PRU15 akan memberi kelebihan kepada kita untuk berhadapan dengan PRN," katanya.

Ujarnya, rasa tidak puas hati para pengundi terhadap pembentukan kerajaan dan kabinet memberi peluang kepada PN untuk menarik sokongan mereka dalam PRN kelak.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat lihat pelbagai komen yang menyatakan rasa tidak puas pengundi terhadap kerajaan yang ditubuhkan selepas PRU15," katanya.

Untuk rekod, pada masa ini, DUN Negeri Sembilan diwakili oleh 20 ahli dari Pakatan Harapan (PH) dan 16 dari Barisan Nasional (BN).