PRN: Negeri Sembilan bubar DUN hujung Jun ini

Aminuddin (duduk, tengah) ketika beramah mesra dengan waris Allahyarham Dato' Syeikh Haji Mohd Murtadza Syeikh Haji Ahmad.
Aminuddin (duduk, tengah) ketika beramah mesra dengan waris Allahyarham Dato' Syeikh Haji Mohd Murtadza Syeikh Haji Ahmad.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung bulan Jun ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia juga sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu, keputusan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Kita dah buat keputusan untuk bubar DUN tak sama hari dan tarikh dengan negeri-negeri yang terlibat PRN, tetapi dalam bulan yang sama. Insya-ALLAH.

"Mungkin ada negeri bubar awal bulan Jun, penghujung bulan sama berdasarkan perbincangan kita tempohari dengan negeri berkenaan. Kita buat keputusan ambil penghujung Jun sebab 1 Julai merupakan hari terakhir (bubar DUN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Nama Baru Bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor yang akan menjalani PRN tahun ini selepas keenam-enam negeri itu tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri terlibat bersepakat untuk membubarkan DUN masing-masing selewat-lewatnya minggu keempat bulan hadapan.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Aminuddin berkata, nama Allahyarham Dato' Syeikh Haji Mohd Murtadza Syeikh Haji Ahmad merupakan bekas Mufti negeri ini dan merupakan tokoh ulama yang dihormati dan disanjungi kerana sumbangannya dalam bidang agama dan masyarakat.

Katanya, Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza itu melibatkan 7.9 kilometer daripada jalan masuk Pantai, Seremban sehingga Persimpangan Kem Askar Sikamat.

"Tujuan penukaran nama jalan ini kepada bagi mengingati dan memberikan penghormatan kepada keluarga serta pengorbanan Allahyarham dalam memajukan syiar Islam di negeri ini," katanya.