PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin sedia bertanding

Jalaluddin (duduk, kanan) ketika menandatangani watikah pelantikan sebagai penaung Kupekmas Negeri Sembilan sambil diperhatikan oleh Omar (duduk, kiri).
Jalaluddin (duduk, kanan) ketika menandatangani watikah pelantikan sebagai penaung Kupekmas Negeri Sembilan sambil diperhatikan oleh Omar (duduk, kiri).
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu sekiranya diberi tanggungjawab oleh parti.

Bagaimanapun beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Saya menghormati dan dengan ini akan menurut segala kehendak juga arahan daripada ketua parti saya. Kalau saya diperlukan untuk bertanding dalam PRN nanti insya-ALLAH saya bersedia.

"Bagi saya yang penting ialah ketika waktu saya dilantik menerajui UMNO di Negeri Sembilan, kita harus menang dalam PRN. Berapa jumlah kerusi yang ditandingi insya-ALLAH akan berjaya dan menang. Itu prosedur operasi standard (SOP) dan naratif yang saya berikan kepada pimpinan UMNO di setiap bahagian untuk bekerja lebih kuat," katanya.

Jalaluddin (tiga, kiri) pada majlis Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) di Seremban pada Isnin.
Jalaluddin (tiga, kiri) pada majlis Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) di Seremban pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) peringkat kebangsaan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Presiden Kupekmas Malaysia, Datuk Omar Osman.

Mengulas mengenai terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini memberi bayangan untuk tidak mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN kali ini, Jalaluddin menjelaskan parti mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan mereka.

"BN khususnya UMNO mempunyai ramai calon yang berkaliber, ramai calon dalam kalangan orang muda, wanita untuk kita letakkan sebagai calon di mana-mana kerusi yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, BN sudah mempunyai satu semangat kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) seperti di kerajaan Persekutuan dan ia akan diteruskan di Negeri Sembilan.

"Apabila kesefahaman politik sedemikian rupa di antara BN dengan PH, saya yakin khidmat kita kepada masyarakat jauh berlipat kali ganda (lebih baik) lagi daripada apa yang masyarakat peroleh sekarang.

"Dalam soal calon pula, pihak parti sedang buat penelitian, kita sedang berbincang sekarang di peringkat negeri dan telah sampai ke peringkat pusat termasuklah jumlah kerusi dan kerusi mana yang akan ditandingi. Saya yakin dalam masa terdekat ini keputusan akan dibuat oleh pimpinan tertinggi," katanya.