PBM kecewa tiada wakil sertai Kerajaan Perpaduan

Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) kecewa apabila tiada wakil dari parti itu yang menyertai kabinet Kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Datuk Larry Sng berkata, sedangkan parti itu antara yang terawal memberi sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya tidak mahu membiarkan kepentingan peribadi menghalang kepentingan negara.

"Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata mengenai kekecewaan saya dengan pelantikan barisan kabinet tanpa wakil daripada PBM, sedangkan kita adalah parti terawal yang menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

"Namun sebagai sebuah parti, kita tidak biarkan kepentingan parti melangkaui kepentingan negara.

"Bagi memastikan usaha untuk negara bergerak ke hadapan, kami juga akan memainkan peranan terhad kami untuk memperkukuhkan asas kerajaan ini," katanya di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 timbalan menteri yang akan membantunya dalam Kerajaan Perpaduan.

Pelantikan itu merangkumi wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Larry berjaya memenangi kerusi Parlimen Julau di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 1,340 undi menewaskan tiga saingan lain iaitu Joseph Salang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Susan George (Parti Bangsa Dayak Sarawak) dan Elly Lawai Ngalai (Bebas).

Dalam pada itu, Larry berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju parti untuk bergerak ke hadapan.

"PBM masih akan kekal sebagai parti nasional dan adalah penting untuk kita memperluaskan pengaruh parti.

"Saya tidak menolak kemungkinan bergabung dan pembentukan gabungan dengan parti politik lain sama seperti yang kita rancang sebelum PRU15," jelas beliau.