Majoriti barisan timbalan menteri muka baharu

Dari kiri: Adam Adli, Aiman Athirah dan Ramkarpal Singh
Dari kiri: Adam Adli, Aiman Athirah dan Ramkarpal Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Senarai 27 timbalan menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan majoritinya terdiri daripada muka baharu.

Antara muka baharu yang bakal membantu mengemudi kementerian masing-masing ialah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan; serta Naib Presiden PKR, K Saraswathy sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan) dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan), juga merupakan wajah baharu yang membarisi kabinet.

Turut menjadi sebahagian Jemaah Menteri buat pertama kali ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang akan memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan; dan Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beberapa wajah baharu dari Sabah dan Sarawak turut membarisi senarai timbalan menteri seperti Ahli Parlimen Beaufort, Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi); Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal (Pendidikan Tinggi); Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (Pertanian dan Keterjaminan Makanan); Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan (Pelancongan, Seni dan Budaya); serta Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Sumber Manusia).

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii, sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, yang juga ahli veteran Gabungan Parti Sarawak (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara jam 3 petang Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan: