Dibicara sehari selepas digulingkan

Castillo (tengah) diperintahkan untuk ditahan selama tujuh hari oleh mahkamah sementara siasatan dijalankan ke atasnya. - Foto Agensi
Castillo (tengah) diperintahkan untuk ditahan selama tujuh hari oleh mahkamah sementara siasatan dijalankan ke atasnya. - Foto Agensi
A
A
A

LIMA - Bekas Presiden Peru, Pedro Castillo menghadapi perbicaraan pertama pada Khamis setelah beliau ditahan atas dakwaan mendalangi pemberontakan dan terlibat konspirasi.

Bekas guru tersebut digulingkan sehari sebelum itu selepas keputusan undi sebulat suara mahu menyingkirkan beliau yang baru memegang tampuk pemerintahan selama kira-kira 17 bulan setelah dilantik sebagai Presiden ke-63 Peru pada Julai 2021.

Castillo, 53, menghadiri prosiding tersebut menerusi telesidang dari pusat tahanan di ibu kota setelah beliau diberkas pihak berkuasa, kira-kira tiga jam selepas mengumumkan pembubaran Kongres.

Bekas aktivis kesatuan itu juga menolak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan ketika diminta berbuat demikian oleh hakim.

Peguam beliau, Victor Perez bagaimanapun menolak tuduhan tersebut dengan menegaskan dakwaan seumpama itu kebiasaannya melibatkan penggunaan senjata dan keganasan.

"Perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Ia adalah penahanan sewenang-wenangnya terhadap beliau," tegasnya.

Penyokong Castillo turut menyelar penahanan beliau yang telah memburukkan lagi ketidakstabilan politik di negara Andes itu yang menyaksikan pelantikan lima Presiden dalam tempoh lima tahun dan kesemuanya tidak dapat menamatkan penggal pentadbiran masing-masing.

Sebelum ini, Castillo dikatakan memohon suaka di Mexico dan sebagai tanda solidariti dengan pemimpin haluan kiri itu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengesahkan beliau akan membuka pintu kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Naib Presiden, Dina Boluarte mengangkat sumpah jawatan sebagai penggantinya, sekali gus menjadikannya sebagai Presiden wanita pertama yang akan memegang tampuk pemerintahan di negara berpopulasi kira-kira 33 juta orang itu.

Boluarte, 60, dijangka menamakan barisan kabinet baharu dalam tempoh terdekat yang diramalkan sebagai kerajaan perpaduan. - AFP