Polis Perak tahan 518 penagih, pengedar dadah

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya memberkas 518 orang penagih dan pengedar dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di seluruh Perak selama tiga hari barmula 6 Disember lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 300 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dengan kerjasam lain-lain bahagian terlibat dalam operasi yang dijalankan serentak itu.

Menurutnya, operasi kali ini tertumpu di sarang-sarang penagihan dadah di kawasan rancangan Felda, ladang swasta, jeti nelayan dan kawasan-kawasan lain yang telah dikenal pasti menjadi sarang penagih.

"Sepanjang tempoh tiga hari operasi berlangsung, Polis Perak berjaya membuat serbuat di 22 sarang atau port penagih dadah. Daripada 518 yang ditahan, 510 merupakan lelaki manakala selebihnya wanita.

"Dengan adanya operasi ini, kita dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 70 tahun termasuk 21 orang warga asing dari Myanmar, Indonesia, Thailand dan India.

Mohd Yusri berkata, daripada keseluruhan tangkapan tersebut, seramai 64 orang ditahan di bawah kesalahan mengedar dadah, 119 orang pula ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 319 orang penagih lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, dalam operasi sama, seramai 16 individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki juga telah ditangkap.

Artikel Berkaitan:

"Antara dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas ini heroin seberat 832.89 g, methaphetamine (96.2 kg), ganja (46.88 g), daun ketum (10.5 kg), cecair ketum (39.85 liter) dan cecair kodein (0.06 liter). Nilai keseluruhan dadah berkenaan berjumlah RM3.51 juta.

"JSJN Perak juga turut menyita sebuah kereta, lima buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM28,546," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri menyifatkan kejayaan berkenaan hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya pihak polis.