Bekalan kurang, harga ikan kembung naik lagi

Zaki menunjukkan ikan kembung segar yang dijual di Pasar Bukit Besar di Kuala Terengganu.
Zaki menunjukkan ikan kembung segar yang dijual di Pasar Bukit Besar di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh di Terengganu menyebabkan harga kebanyakan ikan meningkat kerana bekalan berkurangan.

Seorang peniaga, Zaki M Amir, 68, berkata, harga bagi dua jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran iaitu ikan selayang dan ikan tongkol atau ikan aya meningkat antara RM1 hingga RM2 bergantung pada saiz dan kualiti ikan.

"Harga bagi ikan selayang sejuk beku tidak berubah iaitu pada harga standard RM12 bagi setiap sekilogram manakala harga bagi ikan selayang segar meningkat RM2 kepada RM14.

"Biasanya, kalau harga ikan selayang naik, harga ikan aya atau ikan tongkol pun akan naik. Untuk hari ini (Khamis), harga bagi ikan aya biasa RM14 manakala ikan aya segar atau ikan aya pancing RM16," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Bukit Besar di sini pada Khamis.

Menurut Zaki, dua jenis ikan ini biasanya mendapat permintaan tinggi kerana banyak digunakan peniaga makanan dalam masakan.

"Ikan aya laris di Terengganu kerana dijadikan lauk bagi jualan nasi lemak atau nasi dagang manakala ikan selayang pula digunakan dalam kuah laksa," katanya.

Harga bagi ikan kembung melambung kepada RM24 berbanding RM20 sebelum ini.
Harga bagi ikan kembung melambung kepada RM24 berbanding RM20 sebelum ini.

Selain itu, Zaki memberitahu, harga bagi ikan kembung pula naik RM4 iaitu berlaku kenaikan mendadak kepada RM24 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Harga ikan kembung dan ikan selar sama sahaja iaitu RM24. Harga ikan selar naik RM6 menjadikan harganya RM24 daripada RM18 sebelum ini.

"Ikan lain seperti cencaru masih harga biasa (RM12), ikan kerisi naik sedikit kepada RM18 manakala harga ikan merah segar antara RM45 hingga RM50.

"Harga bagi sotong juga meningkat mendadak. Kalau sebelum ini sotong saiz sederhana dijual RM32 sekilogram, kini harganya mencecah RM45. Udang pula RM34," katanya yang telah 20 tahun berniaga di pasar berkenaan.

Mohd Helmi
Mohd Helmi

Seorang lagi peniaga, Mohd Helmi Ibrahim, 42, berkata, bekalan ikan berkurangan pada musim tengkujuh kerana bergantung kepada keadaan angin atau gelombang di laut.

Katanya, mengikut kebiasaan, musim tengkujuh yang berlaku pada Disember lebih lama dan berpanjangan berbanding bulan-bulan lain.

"Sepanjang musim tengkujuh ada hari-hari tertentu keadaan cuaca hujan sahaja, namun nelayan masih boleh turun ke laut.

"Kebelakangan ini, keadaan cuaca tidak menentu disusuli dengan angin kencang dan laut bergelora menyebabkan aktiviti menangkap ikan tergendala.

"Dari segi harga pula tak menentu kerana apabila bekalan ikan berkurangan, harga akan naik. Apabila bekalan kembali pulih, harga ikan akan turun," katanya yang mendapat bekalan ikan di pasar borong dan dari Pulau Kambing di sini.

Ismail Ali
Ismail Ali

Bagi Ismail Ali, 51, harga kebanyakan ikan yang dijual meningkat satu peratus iaitu RM1 hingga RM2 kerana keadaan cuaca tidak menentu dan bekalan berkurangan.

Menurutnya, harga bagi ikan kembung (RM22), selar (RM20), selayang (RM14), kerisi (RM18), aya/tongkol (RM14), sotong gred C (RM34) dan udang (RM30).

"Harga ikan naik dan bekalan menurun menyebabkan harga ikan yang diperoleh daripada pembekal juga tinggi.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada saiz dan kualiti ikan. Bagi ikan segar sudah pasti harganya lebih tinggi berbanding ikan sejuk beku," katanya.

Ismail berkata, walaupun berlaku sedikit kenaikan harga, jumlah pelanggan tidak terjejas kerana ia merupakan keperluan harian dan bahan asas yang digunakan dalam masakan khususnya bagi golongan peniaga.

Mohd Aidil
Mohd Aidil

Sementara itu, Mohd Aidil Abd Samad, 40, berkata, bekalan ikan bulan ini agak berkurangan apabila nelayan tidak dapat turun ke laut menyebabkan harganya melambung.

Mohd Aidil memberitahu, terdapat juga bekalan ikan yang diperoleh daripada pembekal luar Terengganu iaitu dari Kuala Perlis, Johor, Perak dan Tok Bali di Kelantan.

"Ada pelanggan yang faham, akan faham mengapa harga ikan melambung. Walaupun begitu, pelanggan tetap ada untuk mendapatkan bahan mentah itu," ujarnya.