Kerajaan baharu Pahang perlu kerja keras

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meraikan kemenangan Calon BN DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari selepas berjaya pertahankan kerusi DUN Tioman pada PRU15 pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meraikan kemenangan Calon BN DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari selepas berjaya pertahankan kerusi DUN Tioman pada PRU15 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SELAIN Kedah, negeri Pahang adalah antara yang menjadi tumpuan rakyat negara ini susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Rabu lalu.

PRU15 DUN berkenaan berlangsung lewat susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Persoalan siapa yang menjadi pilihan pengundi bagi kerusi itu sudah terjawab selepas penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain berjaya mempertahankan DUN Tioman bagi penggal keempat berturut-turut.

Bekas Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang itu mempertahankan kubu kuat BN tersebut apabila memperoleh 8,080 undi dengan majoriti tipis, 573 undi mengalahkan calon PN, Nor Idayu Hisham yang meraih 7,507 undi.

Tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly mendapat 784 undi, calon Bebas, Sulaiman Bakar (58 undi) dan Osman A Bakar daripada Parti Pejuang Tanah Air (79 undi).

PH sebelum itu mengumumkan untuk memberi laluan kepada calon BN di Tioman susulan kerjasama PH-BN di peringkat negeri dan persekutuan.

Keputusan pada 7 Disember itu menyaksikan kemerosotan majoriti yang diperoleh BN berbanding 1,280 undi yang diraih Mohd Johari pada PRU14.

Senario itu menyaksikan BN yang kini bergabung dengan PH perlu bekerja keras berikutan sokongan rakyat dilihat kian menurun menerusi pencapaian BN di Tioman.

Artikel Berkaitan:

Biarpun PH memberi laluan kepada calon BN bagi kerusi tersebut, namun ia masih gagal menjana kemenangan besar seperti yang diharapkan.

Kemenangan moral

Bagi Timbalan Pesuruhjaya Pas, Andansura Rabu, keputusan tersebut telah memberi kemenangan moral buat PN berikutan jumlah majoriti tipis yang diperoleh calon BN.

Menyifatkan Nor Idayu sebagai calon amatur berbanding calon heavyweight, Mohd Johari, keputusan tersebut menjadi petunjuk iaitu rakyat tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk BN dan PH.

Ujar Andansura, hari mengundi yang dilaksanakan pada hari bekerja menyebabkan jumlah peratusan keluar mengundi rendah apabila ia merekodkan 57.5 peratus, gagal melepasi sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, pembentukan kerajaan negeri Pahang tertangguh selama sembilan hari ekoran keputusan PRU15 pada 19 November lalu apabila tiada mana-mana parti atau blok politik berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 22 daripada keseluruhan 42 kerusi DUN.

PN memperoleh 17 kerusi berbanding BN,16 kerusi manakala PH dengan lapan kerusi.

Dengan keputusan di DUN Tioman, kini jumlah kerusi yang diraih BN dan PN adalah sama iaitu 17 kerusi.

Jumlah itu jauh berbeza berbanding pada PRU14 apabila BN Pahang menawan 25 kerusi DUN.

Berdasarkan perkembangan mutakhir, BN negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail perlu memikirkan strategi serta formula terbaik bagi memenangi kembali hati pengundi apatah lagi reputasi Pahang selama ini yang dilihat sebagai kubu kuat BN.

Tempoh lima tahun akan datang perlu digunakan sebaik mungkin dengan langkah-langkah komprehensif untuk menjaga kebajikan rakyat khususnya selain membawa Pahang ke arah lebih cemerlang.

Dengan berakhirnya PRU15 di DUN Tioman, kini sudah tiba masanya Kerajaan Perpaduan di Pahang memberi tumpuan dan bekerja menangani sebarang isu rakyat selain melaksanakan segala usaha yang dirancang untuk negeri tersebut.

Agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat hendaklah diletakkan sebagai keutamaan. Sekarang bukan lagi masa untuk terus berpolitik. Cukup-cukuplah.

Tidak dinafikan, masih timbul ketidakpuasan hati rakyat khususnya di laman sosial susulan tindakan BN bergabung dengan PH di negeri ini.

Namun jika kerajaan negeri menampilkan prestasi cemerlang, ia boleh menutup mulut mereka yang mengkritik dan tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut.

Paling penting, segala gerak-geri Kerajaan Perpaduan kini akan dinilai dan sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

* Rosilawati Rosedi ialah wartawan Sinar Harian Pahang