Pelan pemulihan air di Pahang perlu disegerakan

Ahmad Azlan
Ahmad Azlan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) perlu menyegerakan pelan pemulihan isu air yang tuntas dan sistematik bagi mengelakkan gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, air adalah keperluan asas bagi rakyat dan sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab wajib mengurus serta menyelesaikan dengan baik isu keperluan asas terutama isu air.

Menurutnya, Pahang adalah negeri yang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung tetapi tetapi mempunyai masalah air yang tidak diselesaikan oleh kerajaan yang memerintah atas alasan yang tidak munasabah.

"Menjelang syawal kita sudah mendengar rungutan dan tuntutan daripada rakyat mengenai isu air yang tidak pernah selesai. Rakyat bukan tidak boleh bertolak ansur dan jika ada pelan pemulihan isu air yang tuntas dan sistematik.

"Tetapi alasan yang sudah jelek didengari membuatkan rakyat kecewa dan membangkitkan kemarahan rakyat untuk menyambut Aidilfitri.

"Masalah kerap berlaku tetapi solusi kepada masalah seperti tiada tindakan. Di mana Exco yang bertanggungjawab? Apa solusi daripada PAIP??? Rakyat sudah hilang sabar menunggu masalah air di Pahang ini selesai!," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menegaskan agar PAIP dan Kerajaan Pahang agar segera menyelesaikan masalah air yang saban tahun berlaku ini.

"Jadilah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Sebelum ini, PAIP dalam satu kenyataan mengesahkan beberapa kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air ketika ini disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya, akibat masalah paip pecah dan tekanan air rendah berikutan peningkatan mendadak dan penggunaan pada musim perayaan Aidilfitri terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kampung tradisional.

Selain itu, faktor cuaca kemarau atau fenomena La Nina turut mengakibatkan cuaca kering dan taburan hujan berkurangan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi dari sungai utama berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari menjelaskan penyusutan sumber air mentah ini menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) mengalami penyusutan pengeluaran air terawat atas kekangan operasi pam secara optimum di muka sauk.