Nik Nazmi sasar jadikan sektor air sumber ekonomi negara

Nik Nazmi ketika menyampaikan ucapan perasmian Ekspo ASIAWATER 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis. - Foto Bernama
Nik Nazmi ketika menyampaikan ucapan perasmian Ekspo ASIAWATER 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR, - Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad akan memberi fokus kepada pelaksanaan Transformasi Sektor Air 2040 untuk menjadikan sektor itu sebagai sumber ekonomi negara dan menjadikan Malaysia hab air global.

Menurutnya, tumpuan akan diberikan terhadap usaha meningkatkan akses bekalan air kepada 98 peratus, daripada 97 peratus pada masa ini, terutama di kawasan luar bandar dan pulau-pulau.

"Tumpuan juga kepada peningkatan liputan perkhidmatan pembetungan kepada 90 peratus, pengurangan kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus menjelang 2025 dan peningkatan kemampanan kewangan sektor air, agar pelaburan dan peningkatan perkhidmatan secara berterusan kepada pengguna dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian AsiaWater 2022 pada Khamis.

Beliau berkata, strategi dan pelan tindakan bagi mencapai sasaran itu akan digarap secara teliti dalam pelaksanaan Transformasi Sektor Air 2040.

Nik Nazmi berkata, pihaknya juga akan memfokuskan kepada empat perkara utama dalam pengurusan air negara iaitu menjamin bekalan dan sumber air berterusan dan mampan kepada rakyat; meningkatkan kemampanan kewangan industri air negara; meningkatkan akses bekalan air dan kecekapan operasi industri air serta mempertingkat ketahanan sektor air terhadap fenomena perubahan iklim.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, kementeriannya turut mempergiat usaha menangani masalah banjir menerusi pendekatan struktur dan bukan struktur melibatkan pelaburan besar daripada kerajaan, termasuk menaik taraf tembok penahan banjir, penyelenggaraan takungan banjir, pintu kawalan air, pam tetap dan mudah alih, kamera pemantauan dan sistem ramalan serta amaran banjir. - Bernama