Masalah air di Kelantan tak selesai selagi gagal urus - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

MACHANG - Masalah bekalan air di Kelantan tidak akan selesai selagi takbir urus dalam Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak diperbetulkan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peruntukan yang banyak sekali pun tidak akan menyelesaikan isu itu.

“Peruntukan itu memang sebahagian daripada isu tetapi ada beberapa perkara sebagai mana sudah dijawab di dalam Parlimen sebelum ini, ketika itu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air sementara saya Ahli Parlimen pembangkang, antaranya ialah masalah tadbir urus AKSB.

“Itu disebut dalam jawapan dan tak boleh dipertikaikan oleh sesiapa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Townhall Madani @ Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang di sini pada Khamis.

Menurut Nik Nazmi, kerajaan itu sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Soal peruntukan kita boleh bincang, tetapi kalau isu pengurusan tidak selesai, bagilah duit banyak macam manapun, tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air di negeri Kelantan.

“Jadi, kita tengok komitmen daripada kedua-dua pihak untuk kita cuba menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Akhar sebelum ini kerap kali melaporkan permasalahan air yang keruh, bertekanan rendah dan tiada di kebanyakan tempat di negeri ini hingga menyukarkan rakyat meneruskan kehidupan harian.